KUALA LUMPUR : Melihat kepada kesungguhan dan dedikasi mereka yang bekerja sebagai ‘rider’ atau penghantar makanan dan barangan, pelakon Zara Zya, 36, berhasrat untuk membantu golongan barisan hadapan ini dengan menyediakan pek bungkusan istimewa.
Menurut Zara, dia yang menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Prihatin Tanpa Sempadan namun masih memerlukan bantuan dana daripada pelbagai pihak juga dalam memastikan usaha itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Jika boleh, saya perlukan usaha ini dilakukan bersama-sama orang ramai. Kemampuan saya terbatas dan hanya boleh sediakan pek makanan, minuman, pelitup muka dan gel sanitasi tangan dalam skop kecil.
“Tetapi kalau lebih ramai beri sumbangan, InsyaAllah lagi luas skala bantuan ini dapat dilaksanakan,”katanya.
Menurut Zara lagi, golongan rider juga terdedah dengan pelbagai risiko ketika bekerja demi memastikan keperluan dan kepuasan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.
“Saya sendiri antara yang turut menggunakan khidmat mereka. Pernah saya curi masa mereka sekejap untuk bertanyakan apa yang mereka perlukan ketika bertugas. Kebanyakannya memberi jawapan mereka perlukan pelitup muka dan gel sanitasi tangan.
“Daripada situ saya terfikir untuk menganjurkan bantuan ini. Pastinya ada di antara mereka pun tak sempat menjamu selera kerana terkejar-kejar masa penghantaran.
“Jadi makanan dan minuman juga boleh membahagiakan mereka. Saya sendiri yang akan masak dan mengagihkan makanan kepada mereka dan antara menu cadangan ialah nasi ayam atau nasi beriani,”katanya.
Tambah Zara, sebagai permulaan, pelakon ini akan meletakkan pek sumbangan itu di beberapa lokasi stesen minyak di Setia Alam.
“Saya mensasarkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan di setiap stesen minyak kawasan ini. Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan,” katanya
Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan ke Instagram @malaysia.prihatin atau terus ke akaun bernombor 8010356849 CIMB Bank di bawah nama Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan atau WhatsApp ke talian 017-8218385.