JAKARTA : Penyanyi Yuni Shara, 49, mendedahkan dia mengamalkan pola pengasuhan terbuka kepada anak-anaknya dan ia turut merangkumi aspek pendidikan seks.
Menurut Yuni, anak-anaknya, Cavin Obrient Salomo Siahaan dan Cello Obient Siahaan masing-masing telah menginjak ke usia 19 dan 16 tahun. Sebagai seorang ibu, dia sedar ada kala tidak mampu melarang semua perkara pada setiap masa.
“Anak-anak kita tidak mungkin tidak menonton filem elemen dewasa. Tak kisahlah menerusi tontonan anime atau apa sekali pun. Jadi, daripada kita melarang-larang, kita jadi teman mereka saja sambil memantau.
“Ada ketika anak-anak memprotes. Tapi saya akan cuba menjadi seperti teman mereka. Saya lebih suka mendidik mereka secara santai dan tidak terlalu menekan,”katanya dalam satu kenyataan di media Indonesia, semalam.
Selain itu, kata Yuni lagi, sudah tentu pada waktu tertentu anak-anak akan merasa kekok apabila ibu ada di sisi tetapi bagi Yuni, ibu bapa juga wajar terbuka apabila menyentuh mengenai pendidikan seks yang biasanya dianggap tabu dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, ditanya jika dia menyimpan hasrat untuk berkahwin lagi selepas hidup menjanda selama 13 tahun, kakak penyanyi Kris Dayanti ini menolak untuk berbuat demikian.
“Saya selesa bersama anak-anak, biarlah tidak berkahwin lagi. Tetapi syukur kerana anak-anak sebenarnya tidak pernah menghalang jika saya mahu berkahwin atau punya pasangan lain. Tetapi ada pula syaratnya.
“Syaratnya, mereka mahu usia lebih tua barulah saya boleh berkahwin,”katanya.
Cavin dan Cello merupakan anak hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Henry Siahaan yang mana, setelah 12 tahun hidup sebagai suami isteri, kedua-duanya membuat keputusan untuk bercerai pada 17 Jun 2008.
Sebelum Henry, Yuni juga pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki bernama Raymond Manthey namun perkahwinan itu cuma mampu bertahan selama 4 bulan sahaja.