UMT santuni petugas barisan hadapan - Utusan Malaysia

UMT santuni petugas barisan hadapan

Dr. Hafiz Zakariya (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil petugas barisan hadapan KKM di Pusat Pemberian Vaksin Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyedari besarnya pengorbanan oleh petugas barisan hadapan (frontliner) Covid-19 di Terengganu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (HEPA UMT) turun padang bagi menyalurkan bantuan terus kepada wira negara ini.

Usaha tersebut sebagai menghargai jasa mereka yang sangat besar dalam menangani penularan pandemik itu khasnya di daerah Kuala Nerus, Terengganu.

Bagi menyantuni petugas tersebut pihak HEPA UMT mengagihkan 60 pek makanan sunnah serta peralatan solat kepada semua petugas yang terlibat.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu.

Ia adalah hasil kutipan derma warga HEPA melalui Tabung HEPA For Frontliners yang dilancarkan bermula 8 April lalu.

Sumbangan diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Dr. Nasrullah Ismail mewakili frontliner Kuala Nerus.

Turut hadir Pegawai Perubatan/Ketua Unit Data Pusat Vaksin, Dr. Fararuziah Aziz, Pegawai Perubatan/Ketua Pusat Vaksin, Dr. Nor Syafawatty Aluwi, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Wan Norisah Wan Yaakob dan pegawai-pegawai UMT.

Sementara itu Dr. Hafiz berharap sumbangan kecil itu dapat menyuntik semangat kepada petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat melawan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT pada bulan yang mulia ini, HEPA dapat berkongsi rezeki bersama barisan hadapan yang telah banyak berkorban untuk rakyat Malaysia dalam berdepan dengan cabaran Covid-19.

“Kami memberi sumbangan ini sebagai tanda sokongan kepada usaha dan pengorbanan mereka.

“Kita bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga sementara para petugas barisan hadapan berusaha keras, mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan kes Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya