KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Fauziah Nawi mengundang air mata peminat apabila berkongsi gambar dan kapsyen meruntun hati sempena ulang tahun kelahirannya hari ini.
Berkongsi gambarnya bersama anak-anak, Fauziah turut memohon doa agar Allahyarham puteranya, PittHanif atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif sentiasa di dalam rahmat serta pelukan Tuhan.
“28.6.2021 cukup usiaku 68 tahun dan kau wahai anak sudah 610 hari pergi ke negeri abadi, tak kan kembali lagi. Moga segalanya dalam keadaan yang menyenangkan dan kau dalam dakapan Khaliqmu.
“Aku mengharapkan reda akan Kau sebagaimana aku reda akanmu wahai buah hatiku. Tuhan Engkau kasihilah anakku sebagaimana kasihnya aku akan dia,” tulis Fauziah.
Pitt Hanif yang juga seorang pengarah filem ditemukan meninggal dunia selepas lemas ketika memancing di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang pada 2019.