PETALING JAYA: Penyanyi Tasha Manshahar meluahkan rasa syukur setelah kedua ibu bapanya telah sembuh sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
Katanya, dia sangat bersyukur apabila ibunya kembali pulih setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat wabak tersebut.
Menerusi entri Instagram Tasha, dia berkongsi video kronologi dari awal ibu dan bapanya dijangkiti virus berkenaan.
“Terima kasih Ya Allah kerana pilih kami dan berikan kami peluang ini. Terima kasih barisan hadapan Hospital Serdang kerana buat yang terbaik.
“Saya sentiasa doakan ketabahan buat semua waris dan kesembuhan buat #covidfighters yang sedang bertarung. Kita belum menang tetapi kita pasti menang,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian itu juga Tasha berkongsi kata-kata positif ibunya kepada semua yang menerima ujian ini.
“Ini adalah hadiah, hanya orang-orang yang Allah pilih sahaja dapat peluang merasainya. Bila anggap ia sebagai hadiah, kita akan terima dengan hati terbuka dan menikmati perjalanan itu,” kongsi ibunya.
Terdahulu, Tasha memaklumkan ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (swab test).
Kemudian, Ibu dimasukkan ke ICU Hospital Serdang dan terpaksa dikomakan akibat mempunyai jangkitan paru-paru serta paras oksigen dalam badan kurang baik.