KUALA LUMPUR : Bukan tidak bersyukur dengan pengumuman Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini, tetapi bagi pelakon Ummi Aida, 48, apa yang diingini rakyat ketika ini agar sektor pekerjaan dibuka semula bagi membolehkan rakyat mempunyai sumber pendapatan.
Menurut Ummi, sebagai rakyat, tentu sahaja bantuan itu sedikit sebanyak dianggap dapat meringankan beban buat sementara waktu namun ramai yang menyuarakan hasrat untuk kembali semula bekerja seperti biasa.
“Alhamdulillah, syukur dengan bantuan yang diberikan. Sedikit sebanyak dapatlah kurangkan beban. Tapi kami nak kerja, nak cari duit. Jadi tolonglah, tutup kilang!
“Maka angka akan turun dan kita semua boleh teruskan kehidupan dengan bekerja. Tidak perlu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),”katanya.
Ummi berkata demikian semasa membalas kenyataan dan luahan kakaknya, sutradara terkenal, Erma Fatima di ruangan komen semalam yang menyentuh isu pengumuman BPR oleh kerajaan baru-baru ini.
Sementara itu, Erma yang kelihatan kecewa dengan pelaksanaan langkah kerajaan tersebut tidak menolak semakin risau dengan situasi semasa yang menyaksikan semakin ramai rakyat terjejas memandangkan jumlah bantuan yang diberikan mungkin tidak mampu menampung beban hutang sedia ada.
“Siapa kata tak bersyukur, mestilah semua bersyukur dapat bantuan. Tapi sampai bila nak bagi bantuan saja kalau di luar sana ada kilang yang masih beroperasi?
“Mereka yang banyakkan jumlah kes Covid-19 ini. Berapa banyak syarikat tutup? Beribu ya, kasihan. Lingkup habis bisnes.
“Berapa ramai kena halau dari rumah sebab tak bayar sewa? Berapa banyak kereta kena tarik? Berapa ramai orang hilang pekerjaaan sebab syarikat lingkup?” katanya.
Selain itu, menerusi hantaran tersebut, Erma melahirkan penghargaan atas usaha kerajaan menerusi bantuan tersebut namun dalam masa yang sama mengharapkan agar ada jalan penyelesaian yang lebih efisien dilaksanakan.
“Bukan tak hargai RM500 itu, semua bantuan kerajaan kita hargai. Cuma, kita minta jalan penyelesaian selain daripada bantuan. Kita nak tahu tindakan seterusnya untuk bantu kurangkan Covid ini.
“Harap jangan salah faham. Saya hargai dan faham beban kerajaan ketika ini. Tapi sudah setahun rakyat merana ini. Sudah ramai yang jadi gila, tertekan, kemurungan, bunuh diri.
“Bagilah kami harapan untuk terus hidup dengan satu perancangan yang rakyat boleh faham,”katanya.
Perkongsian luahan dalam Instagram itu kemudiannya turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut dan peminat Erma yang masing-masing dilihat saling berdebat melontarkan pandangan.