KUALA LUMPUR: Rapper muda kelahiran Singapura, YHB Sleepsalot, mengakui dia menyunting suara atau autotune untuk menyedapkan dan memperbaiki nada dalam single baharunya, Jatuh Boi.
YHB Sleepsalot atau nama sebenarnya Yasin Husaini, 19, berkata, mengaplikasikan teknik suntingan suara itu bukanlah bertujuan untuk suka-suka tetapi lebih kepada identiti sebagai penyanyi rap.
“Saya suka pakai autotune dalam kebanyakan lagu ciptaan sebab ia menyerlahkan identiti diri sendiri. Tambahan pula, teknik itu diguna pakai untuk menaikkan mood dalam lagu,” ujarnya menerusi sesi media maya sebentar tadi.
Bercakap fasal proses pembikinan lagu dalam tempoh 24 jam itu, YHB menyifatkan etika kerja SonaOne luar biasa.
“Dia boleh duduk 12 jam depan skrin buat lagu. Bekerja dengan SonaOne saya rasa seronok dan teruja,” katanya kagum.
Bagi SonaOne atau nama lengkapnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 32, dirinya seorang yang berkebolehan bekerja untuk lebih daripada satu tugasan.
“Saya seorang yang boleh buat pelbagai kerja dalam satu masa. Stail kerja saya sebenarnya lebih suka berbual terlebih dahulu sebelum buat lagu. Dalam erti kata lain, mencari dan diskusi tentang ilham untuk menghasilkan Jatuh Boi,” jelasnya komited.
Secara ringkasnya lagu kolaborasi bersama dua rapper itu berkisarkan tentang permasalahan yang dihadapi ramai pada tahun 2021 dengan mengubah ungkapan kegagalan menjadi kejayaan setelah melepasi saat sukar dan Jatuh Boi kini boleh didapati di semua platform penstriman digital.