KUALA LUMPUR : Di saat ramai majikan lain cuba mengurangkan gaji dan elaun pekerja dengan alasan terjejas akibat pandemik, penyanyi dan pengacara Indonesia, Raffi Ahmad, 34, lebih bertimbang rasa dengan melakukan hal sebaliknya.
Dipuji ramai, Raffi yang membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh pandemik ini dilaporkan menaikkan gaji para pekerjanya sehingga 20 persen bagi sebagai usaha menyediakan kebajikan terbaik buat mereka.
“Kerana Covid-19, jadi semua pekerja di Rans Entertainment bekerja dari rumah semuanya ya. Semua perancangan termasuk pelancaran jersey yang sepatutnya dibuat terpaksa ditunda dahulu. Masing-masing saya benarkan duduk di rumah dahulu untuk menjaga keluarga.
“Saya tambah gaji sebanyak 20 persen bagi yang bekerja di rumah, tetapi kenalah kerja juga ya,”katanya.
Raffi berkata demikian dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun You Tube yang mana setalat semalam telah mendapat 2791 komen daripada warga net yang berkunjung ke platform tersebut.
Selain itu, dalam video tersebut, Raffi juga telah ditanya oleh seorang daripada pekerjanya yang berada bersama dan kelihatan hairan dengan tindakan Raffi menaikkan gaji mereka.
“Jaga-jagalah, iyalah, kita tak pernah tahu. Alhamdulillah, pasukan Rans juga semua sihat-sihat kan? Jadi tak perlu ditanya kenapa atau alasan apa saya menaikkan gaji itu,”katanya.
Dalam pada itu, kata Raffi, dia merasakan langkah untuk membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah adalah yang terbaik pada waktu ini memandangkan angka kes Covid-19 di negaranya juga masih tinggi.
“Biarlah mereka berada di rumah dahulu sementara kes Covid-19 masih meningkat ini. Alhamdulillah, saya, isteri dan anak diberikan kesihatan yang baik, masih dalam jagaan Allah SWT dan tidak dijangkiti Covid.
“Terasa sepi juga rumah sebab biasanya kami semua ini sudah seakan satu keluarga setiap hari. Tak apalah, biarlah mereka bersama keluarga di rumah,”katanya.
Raffi yang tersenarai sebagai selebriti terkaya di Indonesia pada tahun 2019 ini mendirikan rumah tangga bersama pelakon Nagita Slavina pada tanggal 17 Oktober 2014.
Selepas setahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Rafathar Malik Ahmad yang kini berusia lima tahun.