PETALING JAYA: Pendakwah bebas dan penceramah selebriti, Ustaz Don Daniyal, mengimbau kenangan bersama Allahyarham Aie yang merupakan kartunis popular menerusi karya Blues Untuk Aku.
Menerusi perkongsian di Instagram, Don mengakui sangat meminati karya Allahyarham Aie atau nama sebenarnya, Shaari Sulong sehinggakan kad kahwinnya juga direka seperti lukisan arwah.
“Walaupun pengenalan singkat, tapi sama macam orang lain bila jumpa idola. Saya teruja jumpa abang Aie, iya lah nak beritahu kata punya minat, kad kahwin pun saya nak lukisan macam lukisan arwah.
“Bagaimanapun, pagi-pagi lagi dah dapat berita yang menyedihkan, rakan strategik yang biasa mesyuarat sekali untuk industri komik di Malaysia iaitu abang Aie telah kembali ke Rahmatullah.
“Semoga arwah Abang Shaari Sulong ditempatkan dengan orang soleh dan diberkati hidup di dunia serta akhirat,” katanya.
Kelmarin, kartunis terkenal itu telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul empat pagi akibat komplikasi buah pinggang.