Pengetua model kepimpinan rabbani - Utusan Malaysia

Pengetua model kepimpinan rabbani

Naskhah mengenal pasti potensi dalaman individu yang memiliki kepemimpinan sebagai pengetua sekolah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPIMPINAN yang ditunjukkan baginda Rasulullah SAW merupakan langkah yang terbaik bagi membina generasi manusia.

Kepemimpinan Nabi Muhammad SAW ini sentiasa menghubungkan diri kepada Allah merupakan model ‘Kepemimpinan Rabbani’ dan menjadi contoh kepada umat Islam.

Ia juga berkaitan dengan seseorang atau cara individu menggerakkan orang lain melakukan sesuatu tindakan sama ada memotivasikan pengikut, mempunyai hubungan dengan pengikut, mengutamakan matlamat organisasi dan keupayaan menyempurnakan visi serta misi.

Dalam konteks kepimpinan di sekolah, kebijaksanaan pengetua dilihat sebagai peneraju utama menyediakan landasan yang betul bagi memastikan usaha membangunkan modal insan dan kecemerlangan di sekolah dapat direalisasikan.

Amalan kepemimpinan pengetua sering dikaitkan dengan model pengurusan pendidikan namun kepemimpinan ‘kepala sekolah’ seharusnya menyediakan diri melalui fasa baharu yang memberi tumpuan membina nilai kemanusiaan yang dapat dikongsi bersama dalam kalangan warga pendidik.

Buku Kepemimpinan Rabbani di Sekolah tulisan Pensyarah Kanan di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hailan Salamun ini bertujuan melihat daya kepemimpinan rabbani dapat diterapkan dalam kalangan pengetua sekolah.

Melalui buku ini, penulis menjelaskan model Kepimpinan Rabbani merujuk amalan kepimpinan yang jelas melalui tiga aspek dorongan rabbani.

Pertama, pertimbangan ketuhanan iaitu segala tindak-tanduk yang dirasakan baik dari segi agama.

Kedua, pertimbangan keinsanan yang bertindak memberikan penekanan terhadap usaha membina organisasi bagi melahirkan pemimpin yang bertakwa dan bertanggungjawab.

Ketiga, pembangunan profesional yang menumpukan kepada peningkatan profesionalisme modal insan sesebuah organisasi.

Elemen utama dalam buku ini adalah mengenal pasti potensi dalaman setiap individu yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan pengetua sekolah yang dianggap dapat memberi kesan langsung terhadap perubahan struktur penyumbang kepada kecemerlangan akademik pelajar.

Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan oleh individu yang terlibat dalam bidang kajian kepemimpinan Islam, terutama golongan pengetua dan guru.

Tidak terkecuali pelajar pascasiswazah, pensyarah dan penjawat awam yang berminat bagi mengaplikasikan konsep kepemimpinan Islam dalam organisasi mereka.

Ia juga sesuai dijadikan model kepemimpinan masa depan kerana mencakupi keperluan kepemimpinan yang holistik, sesuai dengan fitrah kejadian manusia di dunia.

  • Buku Kepemimpinan Rabbani

Penulis: Dr. Hailan Salamun

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas: Nur Izzah Izzati Nadzi

Harga: RM30

Tebal: 280 muka surat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya