KUALA LUMPUR: Prihatin dengan keadaan rakyat yang terkesan semasa pandemik ini, selebriti terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi, 58, melaungkan sokongan terhadap kempen bendera putih yang rancak dijalankan ketika ini.
Menerusi perkongsian di Instastory, Aznil menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pihak berkemampuan bagi menggerakkan inisiatif di bawah kempen berkenaan.
“Pak Nil nak cari orang kaya, syarikat besar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berduit untuk #ProjekBenderaPutih. DM Pak Nil,” tulisnya.
Selain Pak Nil, penyanyi bersuara lantang, Siti Sarah Raisuddin, 37, turut menyuarakan sokongan terhadap kempen tersebut menerusi entri terbaharu di akaun Instagram miliknya.
“Berapa ramai lagi yang akan terputus bekalan makanan? Berapa lama lagi orang tak kerja? Berapa banyak lagi syarikat akan tutup?
“Paling sedih, berapa banyak lagi orang akan bunuh diri? Allahuakhbar, kes asyik semakin tinggi, tak turun-turun, siapa yang betul-betul memerlukan buatlah macam ini, angkat bendera putih.
“Jangan malu, jangan segan ya. InsyaAllah yang penting kena usaha, doa dan tawakal. Allah uji sebab Allah tau kita dapat tempuh ujian tu, jangan pernah berhenti berdoa,” tulisnya.