KUALA LUMPUR : Didakwa telah diminta untuk memadam semua hantaran mengenai hebahan penipuan seorang wanita di Instagram, penyanyi dan pelakon, Shalma Eliana bertegas tidak akan berbuat demikian kecuali wanita tersebut membayar semula semua wang yang telah diambil daripada mangsa-mangsanya.
Menurut Shalma, dia juga merupakan seorang daripada mangsa wanita terbabit yang didakwa telah membuatkan ramai peniaga kecil merasa tertipu menerusi transaksi pembelian dan tempahan biskut Biscoff di platform Instagram.
“Sebenarnya saya ada jalankan bisnes tart keju sejak Mac tahun lalu dan antara perisanya menggunakan biscoff. Bila dapat tahu ada sebuah akaun Instagram yang menjual biskut tersebut pada harga yang berbaloi, jadi saya segera berurusan dengannya.
“Tempahan dibuat sejak Februari lalu tapi setelah diasak pertanyaan banyak kali, macam-macam alasan yang diberikan dan produk tidak sampai ke tangan saya.
“Rupanya, bukan saya seorang sahaja yang terkena, ramai lagi yang merasa tertipu dengan wanita itu. Ada yang sampai cecah ribuan ringgit!” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Ia bagi mengulas tindakannya memuat naik beberapa hantaran semalam mengenai dakwaan penipuan seorang wanita yang menjual biskut biscoff sehingga menyebabkan ramai menjadi mangsa termasuk dirinya.
Selain itu, kata Shalma, perkara tersebut tidak seharusnya dipandang remeh memandangkan dalam keadaan sekarang, ramai sahaja peniaga yang sedang terjejas dan seharusnya kejadian seperti ini tidak patut berlaku.
“Mungkin saya cuma kerugian ratusan ringgit, tapi ramai lagi yang rugi dalam jumlah yang bukan main-main. Kalau dia ada masalah dengan pihak pembekal atau tak cukup tangan untuk ambil tempahan, hadkan jumlah ambilan dan kawal masalah yang berlaku.
“Ini apabila ditanya tidak berjawab. Kalau jawab pun dia seakan memanipulasi situasi. Walhal ramai yang sudah jadi mangsanya. Kemudian, bila tahu saya hebahkan perkara ini dalam media sosial, dia minta saya padam.
“Katanya nanti akan ganti duit saya. Bukan soal duit saya sahaja, ganti juga duit semua orang yang terkena itu dengan segera ya. Semua orang sedang terjejas sekarang ini. Bertimbang rasa dan jangan ambil kesempatan,”katanya.
Dalam pada itu, Shalma berharap pihak berkuasa segera memantau dan mengambil tindakan terhadap pengguna akaun allaboutbiscofftaste yang dilihat masih aktif walaupun difahamkan ada antara mangsa lain pernah membuat laporan polis sebelum ini.
Selain itu, penyanyi ini juga berharap perkara ini dapat segera diselesaikan supaya tidak timbul lebih banyak salah faham atau memungkinkan lebih ramai pihak merasa tertipu dengan pembelian atau jualan secara atas talian.