KUALA LUMPUR: Dramatis berkaliber, Nabila Huda, bakal menyediakan kelas lakonan percuma khususnya kepada pelapis baharu yang serius menjadikan landasan seni lakonan ini sebagai kerjaya.
Nabila atau lebih mesra disapa dengan panggilan Abil, terpanggil untuk mewujudkan ruang itu agar pendatang baharu dan pepengaruh media sosial dapat menimba ilmu lakonan sekali gus mengasah bakat terpendam dengan formula Abil.
“Saya pun pernah melalui fasa berlakon tak pandai dari awal pembabitan tetapi saya belajar. Kalau nak marah mereka yang tiada atau kurang pengalaman pun tak boleh buat apa juga kalau kita tak tolong.
“Saya harap peluang ini dapat membantu kamu semua lebih faham dengan bidangini. Saya pun masih belajar. Asas pengetahuan cara saya ini cukup untuk kamu semua jadi seorang pelakon yang baik, merendah diri dan jujur pada masa akan datang.
“Pelakon baharu semua adalah pelapis. Jadi kena jadi pelapis yang baik untuk bagi contoh pada generasi yang akan datang. Asas lakonan ini takkan pudar walau macam mana canggih pun dunia pada waktu itu. Percayalah, asas itu membantu!,” luah Abil menerusi hantaran video di akaun Twitternya.
Bintang hebat yang sudah meraih pelbagai anugerah dan pencapaian seni lakonan itu juga tidak menafikan jumlah pengiku akaun media sosial masing-masing adalah penting untuk stesen TV.
Pesan Abil kepada semua pelapis baharu, jika kehadiran semata-mata untuk glamor dan menang pelbagai anugerah popular, lupakan saja hasrat itu kerana ia tidak akan menjadi penanda aras yang boleh dibanggakan sekiranya tiada pemahaman asas lakonan yang baik.