PETALING JAYA: Usahawan dan personaliti media sosial, Caprice, akhirnya berjaya mencapai impiannya menjalankan misi kemanusian di Gaza, Palestin.
Menerusi entri Instagram Caprice, dia mendapat kebenaran ke sana pada saat akhir namun hanya berseorangan sahaja.
Justeru itu, Caprice meminta semua rakyat Malaysia mendoakan perjalanannya dipermudahkan di bumi Palestin tersebut.
“Tolong doakan saya Malaysia. Di saat akhir Caprice dapat kebenaran untuk masuk ke Cairo-Gaza.
“Cuma kita kena terbang seorang diri malam ini. Maafkan segala kesalahan saya dan halalkan makan serta minum.
“InsaAllah, suatu hari nanti saya akan membuat anda bangga. Demi ummah, rakyat serta negara,” luahnya.
Dalam pada itu, menerusi Instastory, Caprice turut meluahkan perasaan terpaksa meninggalkan ibu dan bapanya. Namun, dia pernah berkata tidak akan menoleh ke belakang selepas keputusan dibuat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet menyokong dan mendoakan segala urusannya di sana sentiasa dipermudahkan olehNya.