KALAU bukan kerana pandemik, rasanya saya sudah berada di Jakarta, Indonesia untuk tayangan perdana filem Ali & Ratu Ratu Queens. Itu sesuatu yang cukup dirindukan. Namun, zoom meeting kan ada?
Diadakan secara maya, sesi sidang media Ali & Ratu Ratu Queens riuh dengan gelagat dan bicara barisan pelakon filem itu.
Sabar, sebelum kita melangkah lebih jauh membedah Ali & Ratu Ratu Queens, apa kata kita berbicara dahulu dengan pelakon-pelakonnya.
Mencari keserasian dalam lakonan tidak semudah mematahkan sebatang pensil. Jadi saya tertanya-tanya, bagaimana empat wanita berbeza personaliti boleh menjadi kawan baik daqlam satu filem?
Bagi Nirina Zubir yang membawakan watak Party, modus operandinya mudah. Mereka banyak menghabiskan masa bersama mencipta keserasian walaupun kedinginan bumi New York memeluk diri.
“Kami memang banyak menghabiskan masa bersama. Tidur bersama-sama. Kalau seorang tak boleh tidur, yang lain pun sama. Itu yang menguatkan lagi keserasian kami. Malah, kami bersikap terbuka sesama sendiri.
“Masing-masing ada character development sendiri, jadi tugas kami sebagai individu membantu untuk mencari keserasian itu. Kudos kepada casting director dan juga pengarah yang berjaya menemukan kami.
“Kami juga diberi tempoh berjalan-jalan sekitar Times Square untuk bersahabat. Sejuk sangat! Walaupuun pakai berlapis-lapis tetapi kedinginan itu masih terasa. Itu yang kelakar bila masing-masing mengadu sejuk!” katanya.
Malah jelas Nirina, pengembaraan juga harus dilakukan dalam kadar segera. Kekangan masa cukup membebankan namun apabila keserasian itu wujud dan masing-masing tahu ‘kerja’ sendiri, semuanya jadi mudah.
“Paling susah hendak berlagak seperti sudah lama hidup di New York walaupun sebenarnya sejuk sangat! Tetapi wajah kena nampak santai,” selorohnya yang disambut dengan ketawa oleh pelakon lain.
Selain Nirina, Ali & Ratu Ratu Queens turut dibintangi Iqbaal Ramadhan, Asri Welas, Tika Panggabean dan Happy Salma.
Ali dalam Iqbal
Menjayakan watak utama dalam Ali dan Ratu Ratu Queens, banyak ilmu yang Iqbal raih. Tidak berselindung, dia lebih menghormati wanita dan belajar tentang kasih sayang seorang ibu walaupun bukan darah daging sendiri.
Tidak pernah sama sekali hidup dengan empat orang ‘ibu sementara’, bagi Iqbal, watak Ali memberi dia peluang untuk menghargai kasih sayang dan dalam masa sama, belajar banyak ilmu lakonan baharu.
“Sesuatu yang tidak mungkin saya akan lupakan. Saya belajar bagaimana mengawal diri, menghormati dan menghargai seorang wanita. Banyak ilmu lakonan juga yang saya kutip daripada pelakon-pelakon hebat ini.
“Dalam filem ini, saya dilihat lebih rapat dengan ibu sendiri, Mia (Marissa Anita), Tetapi dalam masa sama, dengan Ratu Ratu Queens juga saya membina watak dan memahami setiap kami ada karakter sendiri.
“Malah untuk mencipta keserasian dengan Mia, saya memanggil dia ‘mama’ dan Marissa memanggil saya Ali sepanjang penggambaran. Itu sangat-sangat membantu,” katanya.
Ali dan Ratu Ratu Queens kini menjadi antara filem wajib tonton di Netflix dan menerima pelbagai komen positif daripada penonton sejak mula ditayangkan 17 Jun lalu.