Johan Asari jaga sikap, disiplin - Utusan Malaysia

Johan Asari jaga sikap, disiplin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan kontroversi mampu melonjakkan nama seseorang artis. Tanpa mengira baharu atau otai, sesuatu perkara yang panas itu pasti menjadi tumpuan ramai. Tetapi awas, adakalanya boleh makan diri jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Bagi pelakon terkenal, Johan Asari, dia meluahkan rasa syukur kerana lebih 10 tahun pembabitan di dalam arena seni hiburan tanah air, sekali pun tidak pernah terpalit dengan kontroversi bersama pengarah ataupun penerbit.

Menurut pemilik nama sebenar, Johan Ariff As’ari, 34, kebanyakan kontroversinya hanyalah berkaitan perhubungan cinta yang berhujung kegagalan.

“Saya tak nafikan, memang benar ada saja kontroversi yang boleh menaikkan nama. Ada pula, kontroversi yang memungkinkan reputasi sebagai seorang pelakon terjejas.

“Jadi saya rasa bersyukur sangat-sangat, sejak penglibatan sebagai artis ini nama saya masih bersih daripada kontroversi. Malahan, pengalaman mendewasakan saya sebagai seorang pelakon,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Bintang Juvana itu berkata, selebriti yang terpalit dengan kontroversi perlu pandai mengawal keadaan dan berani untuk berhadapan dengan pihak media.

“Sebagai seorang artis, kita perlu faham tugas mereka. Wartawan hanya menginginkan pencerahan sama ada kita menjawab secara spontan ataupun membuat sidang media.

“Apa pun kontroversi yang melanda, saya cuba elakkan kontroversi dengan penerbit mahupun pengarah, sebab mereka adalah sumber pendapatan saya sebagai pelakon.

“Mereka ada hak untuk memilih artis-artis bagi membintangi karya-karya mereka,” ujarnya.

Pada tahun 2013, nama Johan menjadi topik carta nombor satu dalam carian Google. Jejaka itu pernah menjalinkan hubungan dengan aktres popular, Lana Nordin. Malah, pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan pelakon Wan Sharmila ketika sama-sama menjayakan Jejak Karmila.

IKHLASKAN DIRI

Tidak lokek memberi jawapan ketika ditanyakan bagaimanakah untuk kekal konsisten di lapangan seni lakonan, jawabnya jujur iaitu dengan menjaga sikap yang baik dan berdisiplin merupakan kunci kelestariannya sebagai pelakon.

Tambah jejaka yang murah dengan senyuman itu, dia percaya apabila kita pandai membawa diri, rezeki akan luas.

“Bagi saya perwatakan lebih utama berbanding bakat. Walau sebesar mana pun bakat yang dimiliki, ia hanya ibarat sebesar 20 peratus sahaja, manakala 80 peratus lagi adalah disiplin diri.

“Namun disiplin saja tidak mencukupi, kena ganda dengan usaha yang ikhlas. Pasti seseorang pelakon itu akan mengecapi kejayaan samada cepat ataupun lambat.

“Dalam tidak sedar, apa yang kita buat, ikhlaskan diri. Kekalkan sikap sebegitu, Insya-Allah, ramai sayang kita,” akhirinya.

Sebagai informasi, Johan pernah belajar di sekolah pondok Pesantren As-Syuhada, Jambi, Indonesia selama setahun ketika berusia 20 tahun.

Di situ, dia melalui rutin hidup yang berdisiplin dan penuh dengan aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, mendengar kuliah agama dan menghafaz ayat al-Quran.

Bagaimanapun Johan tidak sempat menamatkan pengajiannya lalu bergelar mahasiswa dalam bidang kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Demi minat yang mendalam terhadap lakonan, Johan sanggup menangguhkan pengajian peringkat diplomanya kerana lebih meminati bidang lakonan berbanding kaunseling.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya