KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pengacara terkenal, Haziq Hussni, menjelaskan dua orang anak tercintanya tidak dijangkiti Covid-19, tetapi jangkitan virus pada paru-paru.
Enggan disalah tafsir dalam hantaran entri terdahulu, Haziq kemudiannya memuat naik sekeping gambar bersama dua orang cahaya matanya, Muhammad Heidy Nufael, 4, dan Chayra Auliya, 3 berserta kapsyen penegasan.
“Untuk mencerahkan keadaan, Heidy Yaya kena jangkitan pada paru-paru bukan Covid,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.
Dalam perkongsian sama, Haziq turut memaklumkan, mereka satu keluarga sudah membuat ujian calitan dan menerima keputusan.
“Keputusan ujian calitan kami tadi dah dapat. Alhamdulillah kami negatif. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Terdahulu, Haziq berkongsi sekeping gambar menunjukkan mereka berempat saling memegang tangan masing-masing.
“Jangan risau sayang. Mama daddy tak lepas tangan korang okey. Kita daftar masuk berempat,” tulisnya.
Hasil tinjaun Utusan Malaysia di ruangan komen mendapati rata-rata rakan artis dan peminat, menitip doa yang baik-baik dan kata-kata semangat serta kesejahteraan buat ahli keluarga itu.
Untuk rekod, Haziq dan isteri Ayunda Putri, selamat mendirikan rumah tangga pada 15 Julai 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.