KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina, menyeru orang ramai untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dan menegaskan supaya dos tersedia tidak dibazirkan begitu sahaja.
Pelakon Puteri Gunung Ledang berkata, bagi membendung dan menuju ke arah Malaysia bebas penularan wabak, imuniti kelompok (herd immunity) mesti dicapai dengan bersatu hati.
“Saya tak bazirkan dos vaksin ini. Bagi siapa yang mengenali diri ini sememangnya saya seorang yang cukup takut dengan jarum. Tetapi pada hari untuk terima suntikan, ia pengalaman paling positif pernah saya lalui.
“Chan Kuan Hong, petugas hospital di Selayang. Dia layan saya dengan penuh kesabaran. Dia tak kenal pun siapa saya. Borak macam-macam, tahu-tahu dah selesai kena cucuk.
“Saya percaya bahawa kita semua mahukan kehidupan seperti sedia kala secepat mungkin bukan? Jadi ayuhlah Malaysia, jangan bazirkan dos anda,” ujarnya yang menerima suntikan dos pertama pada Selasa lalu.