PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon terkenal, Uyaina Arshad, memohon maaf kepada warganet atas kesilapannya menggunakan latar belakang lagu berunsur lucah dalam video yang dikongsinya.
Menerusi perkongsian di entri Instagram Uyaina, pada mulanya dia beranggapan lagu berkenaan bukan menggunakan bahasa Inggeris.
Dalam pada itu, dia mengakui kesilapan yang tidak sengaja itu apabila salah seorang individu menegur kerana menggunakan lagu berkenaan dalam video terbabit.
“Yana nak minta maaf, tadi buat satu perkongsian untuk memberi Iphone kepada pengikut. Sayang sekali Yana gunakan lagu ini sebagai muziknya tanpa memahami lirik.
“Saya betul-betul ingat lagu ini bukan bahasa Inggeris sebab bunyi dia aneh. Tapi nasib baik Jaydee memberi pesanan dan bagi tahu tentang makna di sebalik lirik lagu ini.
“Nanti bila tukar muzik, Yana akan buat perkongsian untuk memberi Iphone itu ya. Harap kita semua belajar dari perkara ini terutamanya untuk diri sendiri,” katanya.