KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Hefny Sahad, menentang sekerasnya perlakuan buli siber dan menegaskan tindakan setimpal harus dikenakan terhadap mereka yang sewenangnya mengecam serta mengeluarkan fitnah di media sosial.
Hefny menerusi Instastory (IG) miliknya, berkata, penggunaan media sosial oleh pengguna dilihat bebas bersuara tetapi tidak digunakan bagi tujuan kebaikan.
“Kita semua nak jadi negara yang bebas bersuara. Tapi berapa ramai yang cukup matang untuk bersuara? Suka hati kutuk sana sini di media sosial walaupun kau tak kenal langsung siapa dia. Sebab itu orang kata kalau tak suka elok diam!
“Aku menentang sekerasnya buli siber. Kalau ada kes sebegini teruskan untuk tindakan undang-undang. Nak cakap fasal undang-undang aku tak tahu, tapi harap hukuman sekerasnya dikenakan untuk pelaku buli siber.
“Jangan biarkan mereka bebas menjadi punca kemudaratan orang lain! Buli siber boleh membunuh, ingat itu,” tegasnya yang merujuk kepada insiden pelakon, Siti Elizad yang difitnah dan dibuli seorang individu di laman sosial semalam.
Menurut Hefny yang pernah menemubual mangsa buli siber, berkata, individu terbabit mengalami depresi sehingga menyebabkan hilang pertimbangan dan memutuskan untuk bunuh diri.
“Depresi antara kesan buli siber dan perlakuan itu bukan remeh-temeh. Kalau tengok luar negara, ada yang mati disebabkan jadi mangsa buli siber.
“Jangan jadi punca orang lain depresi! Kita di zaman pandemik ini semua orang tengah susah dan tertekan. Jangan menyebar kebencian, jadi positif dan sebarkan kasih sayang.
“Sekali lagi peringatan bersama untuk kita semua, fikir dahulu kesan percakapan dan penulisan samada menyinggung perasaan atau tidak? Guna akal sebelum menaip! Aku harap lebih banyak lagi kempen kesedaran fasal buli siber di Malaysia,” akhirinya.