KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi meluahkan kekecewaan terhadap segelintir individu yang mengambil kesempatan, menggunakan kesusahan orang lain sebagai kandungan di media sosial.
“Rasanya, bila kita nak tolong orang, tak perlulah diwar-warkan dengan rakaman foto dan video secara berlebihan.
“Saya tidak boleh menilai dari sudut niat kerana itu bergantung pada diri masing-masing. Tetapi, saya menilai dari segi apa yang saya perhatikan, apabila terdapat content berkaitan yang lebih menjurus untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi.
“Kalau nak bantu tak salah, tetapi biarlah seiring niat yang betul, berhati-hati agar tidak mengaibkan penerima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menerusi satu perkongsian di Instastory, Haiza, 40, secara terbuka menegur tindakan yang dianggap tidak beretika itu dan berharap ianya dapat dihentikan.
“Please stop jadikan orang yang susah atau yang dalam kesempitan sebagai content!,” tulisnya pendek.
Mengulas tentang itu, Haiza menegaskan perkongsian berkenaan tidak ditujukan kepada individu tertentu sebaliknya menjadi peringatan umum yang turut ditujukan kepada diri sendiri.
Dalam pada itu, penyanyi bersuara lunak ini mengakui turut terkesan akibat pandemik.
“Kalau dahulu, saya terima tawaran menyanyi, menyampai radio, mengacara dan berniaga untuk menampung kehidupan.
“Sekarang saya hanya tumpukan kerja-kerja di konti radio. Kena sesuaikan diri dengan keadaan sekarang.
“Tetapi saya bersyukur sebab masih ada punca pendapatan. Kita semua terkesan dan hanya kita sendiri sahaja yang tahu kesusahan masing-masing,” ujarnya.