Dulu orang tak percayakan saya - Shiha Zikir - Utusan Malaysia

Dulu orang tak percayakan saya – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Membuktikan bahawa dirinya bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, Shiha Zikir, 33, kini mampu tersenyum lebar apabila dia semakin banyak diberi peluang dalam cabang seni lain termasuk lakonan dan pengacaraan.

Menganggap semua itu rezeki, menurut Shiha, semua itu umpama satu penantian yang berbaloi setelah hampir 17 tahun berusaha mencipta nama sebagai anak seni.

“Ada yang tegur, sekarang ini kalau buka televisyen, mana-mana sahaja ada muka saya. Apa yang boleh diucapkan melainkan kata syukur. Bukanlah nak pulun semua kerana sebenarnya yang mana penonton lihat sekarang, itu adalah kerja-kerja yang sudah diselesaikan beberapa bulan sebelum ini.

“Tak dinafikan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan Mac tahun lalu, saya banyak terima tawaran berlakon. Sebelum itu lagi pun ada cuma saya hadkan juga atas faktor perlu berulang-alik ke Indonesia atas urusan kerja,”katanya.

Shiha berkata demikian selepas menyertai sidang media program realiti Luar Biasa terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Astro Prima yang diadakan secara virtual semalam.

Menurut Shiha, dia juga bersyukur kerana kebelakangan ini juga semakin banyak peluang diberikan kepadanya untuk membawakan watak utama dalam setiap naskah yang ditawarkan.

“Sesuatu yang menggembirakan kerana sebelum ini semua orang tahu, betapa susahnya kepercayaan itu untuk diberikan kepada saya. Tak kecil hati pun sebab saya tahu banyak lagi yang perlu saya pelajari dan asah dalam bab lakonan ini.

“Tak cuma berlakon, mengacara juga begitu. Apabila banyak pihak membuka mata dan memberi peluang pada bakat ini, saya benar-benar menghargainya,”katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai pembabitannya sebagai hos program Luar Biasa, Shiha teruja diberi kepercayaan itu memandangkan ia juga bukan satu tugas yang mudah.

“Ia sebuah program yang berlandaskan fakta dan hanya Tuhan sahaja tahu betapa risau dan gementarnya saya ketika mula-mula diberi tanggungjawab itu bergandingan dengan Norman Hakim.

“Dalam masa yang sama, rasa beruntung juga kerana banyak informasi dan kelebihan mencarum dengan Perkeso yang saya raih. Baru saya tahu, rupanya sebagai selebriti dan artis, atau individu yang bekerja sendiri, kita juga boleh mencarum di bawah Perkeso,”katanya.

Program realiti Luar Biasa mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) Perkeso selain menyelami kisah suka dan duka peserta yang juga merupakan Orang Berinsurans (OB) di bawah Perkeso.

Ada antara peserta diduga dengan masalah kecacatan kekal seperti kelumpuhan dan amputasi pada anggota badan akibat kemalangan atau faktor kesihatan namun dalam diuji, mereka bangkit mendepani setiap kekurangan dengan sokongan dan bimbingan yang diberikan melalui program tersebut.

Berkonsepkan sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa, program realiti 13 episod ini menyaksikan Shiha dan Norman sebagai pengacara dan akan memulakan siarannya pada 4 Jun ini, setiap Jumaat, pada pukul 9 malam di saluran 125 – Astro Prima (SD) dan saluran 105 – Astro Prima HD.

Program juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Perkeso.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya