PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Elyana Emrizal, meminta warganet agar mendoakan dirinya diberikan kelancaran dan kesihatan yang baik supaya penyakit yang dihidapinya cepat sembuh.
Menerusi perkongsian InstaStory, Elyana memuat naik perkembangan terbaharu apabial dia sedang menjalani rawatan radioterapi di hospital.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu, turut menceritakan proses memasukkan darah dan susu ke dalam badannya sepanjang menjalani rawatan berkenaan.
“Satu beg darah dalam tiga jam, selepas itu akan disambung dengan susu kerana saya tidak cukup berat. Berat saya kini hanya 35 kilogram.
“Berkemungkinan besar saya akan buat radioterapi kerana doktor tahu saya tidak mahu membuat kemoterapi.
“Semoga semua berjalan lancar. Saya harap anda semua dapat mendoakan kelancaran dan kesihatan saya. Semoga cepat sembuh,” katanya.
Terdahulu, Elyana telah mengesahkan dirinya menghidap kanser limfoma sejak 11 tahun lalu. Kanser tersebut juga sudah merebak ke rahim, hati serta pangkal peha.
Bagaimanapun, dia tetap positif dan berusaha untuk kuatkan semangat untuk lebih sihat pada hari-hari yang mendatang.