Beberapa kali juga Poklip mendengar cakap-cakap belakang tentang penyanyi, Daiyan Trisha. Terutama apabila dia memberanikan diri untuk bergelar pengacara Muzik Muzik 36. Bagi Poklip itu satu usaha yang baik.
Yalah, di kala ini, bukankah lebih baik jika seorang selebriti itu tidak hanya selesa dalam satu zon sahaja. Bila Daiyan memberanikan diri untuk berlakon dan mengacara, bagi Poklip itu cara dia mengejar impian kan.
Cuma ada yang mendakwa, teknik pengacaraan Daiyan agak kaku. Orang cakap macam ‘kayu’. Dakwa si polan itu, bila pasangan pengacaranya adalah Alif Satar, jadi lagi nampak perbezaannya di situ.
Poklip tak mahu terus menghukum. Tidak elok orang kata. Jadi Poklip pun ambil masa dan tonton semula beberapa episod program tersebut. Kalau kita main angguk sahaja dakwaan orang, jadi fitnah pula kan.
Pada pengamatan Poklip, pengacaraan Daiyan tidaklah kayu sangat. Cuma mungkin dia masih menyesuaikan diri. Rasanya ini program kedua Daiyan mengacara. Mestilah ada lebih, ada kurangnya.
Janganlah kita mengharap yang hebat-hebat daripada seseorang yang baru hendak belajar. Bagi Poklip, mengacara bersama Alif itu adalah peluang yang baik. Boleh belajar tetapi jangan meniru sebiji-sebiji pula.
Jujurnya Poklip rasa kita patut beri peluang kepada Daiyan untuk memperbaiki teknik pengacaraannya. Lagipun itu adalah program secara langsung, bukan semua orang boleh buat tau.
Kepada Daiyan, jangan lihat kritikan sebagai tembok penghalang sebaliknya buktikan anda boleh dan mampu menjadi pengacara yang baik. Anda boleh!