KUALA LUMPUR: Pertama kali dalam sejarah, jenama terkemuka dunia, Coach dengan kerjasama Def Jam Sea melancarkan konsert maya menggabungkan empat negara, Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Konsert maya yang bertujuan untuk merapatkan komuniti dengan pendekatan moden turut menyuntik elemen nostalgia terhadap muzik berinspirasi tahun 80-an supaya lebih dekat dengan pendengar.
“Konsert ini membuka tirai dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi tempatan, Joe Flizzow, SonaOne, SYA dan YonnyBoii. Penonton juga bakal mendengar secara eksklusif persembahan Jow menerusi lagu popularnya, Ciao dan Sampai Jadi.
“Malah, artis Singapura seperti Yung Raja, Fariz Jabba dan Alyph turut memberi persembahan bertenaga. Tidak terkecuali, Rapper kelahiran Indonesia, Rayi Putra, Ben Utomo dan A. Nayaka juga turut terlibat dalam konsert maya ini.
“Penonton juga bakal disajikan dengan persembahan unik oleh barisan penyanyi popular Thailand, Daboway, Tarvethz dan Pardaa D yang turut mendendangkan lagu-lagu hits mereka,” kata Coach menerusi satu kenyataan.
Dalam konsert yang turut menyuntik elemen fesyen tersebut, semua penyanyi terlibat menyarung busana eksklusif daripada koleksi Coach’s Pre Fall 2021 yang diilhamkan oleh Pengarah Kreatif Coach, Stuart Vevers.
Peminat boleh mendengarkan barisan lagu-lagu yang dinyanyikan penyanyi empat negara itu menerusi Coach x Def Jam Sea Spotify Playlist di aplikasi Spotify.