Wanita temukan virus korona pertama - Utusan Malaysia

Wanita temukan virus korona pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN umum hanya mengetahui mengenai Covid-19 yang sedang melanda dunia namun siapa sangka sebenarnya penemuan virus korona dikesan sejak 1964 di London.

Virus korona manusia ditemukan oleh penyelidik wanita yang tidak pernah menjejak kaki ke universiti.

Penemuan itu dianggap amat menakjubkan kerana ahli virologi, June Almeida juga tidak mempunyai kelayakan akademi formal dalam bidang sains.

Malah, penemuan Almeida pada tahun 1964 membuka jalan kepada saintis dari seluruh pelosok dunia untuk melakukan kajian dan memahami ancaman virus dengan lebih mendalam.

Sama seperti wanita lain yang mencipta sejarah dengan pelbagai inovasi sains, nama Almeida kurang dikenali sejak beberapa dekad lalu.

Namun nama beliau menjadi sebutan selepas hanya 54 tahun penemuan itu apabila dunia digemburkan dengan pandemik Covid-19.

Kini selepas 14 tahun Almeida meninggal dunia, pandemik Covid-19 menjadikan hasil kerjanya lebih relevan berbanding sebelum ini.

Apabila wabak Covid-19 pertama kali ditemukan di China pada 2019, penyelidik menggunakan hasil kerja Almeida untuk mengenal pasti virus yang digelar SARS-CoV-2.

Penyelidikan Almeida turut membantu para saintis memerangi Covid-19 ketika mereka berusaha menghasilkan vaksin dan ubatan efektif untuk merawat penduduk dunia.

Kesan ketara wabak ini turut memberi impak yang dahsyat terhadap pertumbuhan ekonomi, krisis bekalan makanan dan kehilangan pekerjaan di peringkat global.

Masih belum ada tanda-tanda pandemik ini akan reda dan sudah pasti impaknya akan berterusan beberapa tahun lagi.

Kehidupan peribadi

June Dalziel Hart dilahirkan pada 5 Oktober 1930 dan dibesarkan di kawasan kediaman berhampiran Alexandra Park di timur laut Glasgow, Scotland.

Anak perempuan kepada pasangan Harry Leonard Hart dan Jane Dalziel.

Ayahnya ialah pemandu bas manakala ibunya bekerja di sebuah kedai dan mereka sekeluarga hidup dalam kesusahan.

Pada 1940, adik lelakinya yang berusia enam tahun meninggal dunia akibat difteria (jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheria) dan faktor itu mungkin menyebabkan minatnya dalam kaji selidik penyakit.

Pendidikan

Almeida mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Whitehill di Glasgow, Scotland.

Sejak kecil lagi, Almeida merupakan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains.

Malah, Almeida juga pernah memenangi hadiah sains tertinggi di sekolahnya pada tahun 1947.

Almedia berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat universiti namun keluarganya tidak mampu menampung kos pendidikan.

Beliau terpaksa meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun dan bekerja untuk membantu meringankan beban keluarganya.

Kerjaya

Almeida mula bekerja sebagai juruteknik makmal di unit Histopatologi di Glasgow Royal Hospital.

Skop kerja beliau antara lain mengkaji sampel-sampel tisu manusia dengan menggunakan mikroskop.

Almeida berpindah bersama keluarganya ke London dan mendapat pekerjaan serupa di makmal St. Bartholomew Hospital.

Perkahwinan

Di London, beliau bertemu jodoh dengan Enrique Rosalio Almeida yang merupakan artis dari Venezuela.

Mereka berkahwin pada 11 Disember 1954 dan berhijrah ke Ontario, Kanada.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Joyce.

Namun perkahwinan Almeida tidak bertahan lama selepas bercerai pada 1967 yang kemudiannya berkahwin dengan Phillip Samuel Gardner pada 1979.

Pengalaman

Pengalaman luas Almeida dalam teknologi mikroskop membolehkannya mendapat pekerjaan di Institut Kanser Ontario di Toronto.

Beliau bekerja sebagai juruteknik mikroskop elektron selama 10 tahun.

Sepanjang tempoh itu, beliau membangunkan teknik mikroskop baharu dan menerbitkan beberapa kajian sebagai rujukan dalam jurnal sains di negara itu.

Hasil kajian beliau antara lain menjelaskan mengenai struktur virus yang tidak pernah diketahui orang ramai sebelum ini.

Inovasi

Meskipun teknik mikroskop baharu yang dibangunkan oleh Almeida dikatakan amat mudah, ia menjadi revolusi dalam bidang virologi.

Beliau mempelopori kaedah penggunaan antibodi untuk menggambarkan virus dengan lebih baik.

Teknik itu membantu para penyelidik lain menggunakan mikroskop elektron sebagai cara mendiagnosis jangkitan virus pada pesakit.

Almeida juga mengenal pasti sejumlah virus termasuk virus penyebab Rubella dengan menggunakan teknik dibangunkan sendiri.

Penemuan komponen yang membentuk virus hepatitis juga merupakan sumbangan besar Almeida.

Penemuan virus Korona

Ketika kemahirannya semakin mendapat pengiktirafan, Almeida menerima tawaran dan bekerja di St. Thomas Hospital Medical School di London pada 1964.

Pada masa itu, Almeida diminta untuk membantu Dr. David Tyrrell dari Unit Selsema di Salisbury, Wiltshire untuk mengenal pasti sejenis virus.

Kumpulan penyelidik diketuai Tyrrell mendapat sampel dilabelkan sebagai B814 yang dipercayai mengandungi sejenis virus menyebabkan penyakit selesema.

Bagaimanapun, kumpulan penyelidik itu gagal mengenal pasti virus tersebut dan tidak berjaya membiakkannya di makmal.

Tyrrell kemudian menghantar sampel berkenaan kepada Almeida dengan harapan teknik mikroskop yang dimilikinya dapat mengenal pasti virus tersebut.

Menerusi teknik imejan virus yang dibangunkan, Almeida berjaya menemui sekumpulan virus baharu yang tidak pernah ditemui sebelum ini.

Virus itu dikelilingi dengan struktur berbentuk halo atau memiliki bentuk menyerupai mahkota.

Dengan mengambil ilham ciri-ciri tersebut, Almeida, Tyrrell dan kumpulan penyelidik menamakan virus itu sebagai Korona yang diambil daripada perkataan Latin bermaksud mahkota.

Penemuan baharu daripada strain B814 disiarkan dalam Jurnal Perubatan Britain pada 1965 dan gambar pertama yang dilihat pula diterbitkan dua tahun kemudian dalam Jurnal Virologi Am.

Sumbangan lain

Almeida kemudian bekerja di Royal Postgraduate Medical School di London dan beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah.

Beliau kemudian menamatkan karier di Wellcome Institute for the History of Medicine yang mana melayakkan beliau menjadi pemegang beberapa paten dalam bidang virus pengimejan.

Sepanjang kerjayanya sebagai ahli virologi, Almeida melakukan penyelidikan mengenai virus rubella, virus hepatitis B dan HIV.

Gambar virus yang terperinci disiarkan dalam buku teks dan artikel sains.

Kehidupan selepas bersara

Almeida bersara daripada bidang virologi pada 1985 namun masih kekal aktif.

Beliau juga kembali semula ke St. Thomas sebagai penasihat dan membantu penyelidikan virus HIV pada peringkat awal kajian termasuk menyiarkan beberapa gambar virus HIV.

Almeida meninggal dunia pada 1 Disember 2007 akibat serangan jantung.

Selepas 56 tahun menemui koronavirus menerusi mikroskop, hasil kerja Almeida dianggap lebih relevan ketika ini berbanding sebelum ini.

Malah, ramai penyelidik masih menggunakan teknik mendiang untuk mengenal pasti virus dengan segera dan lebih tepat.

Penghargaan

Sebuah makmal baharu bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di Guy’s Hospital, London telah dinamakan sempena Almeida pada tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya