KUALA LUMPUR : Pelakon dan Pencetus Ummah (PU) Azman, 41, menasihatkan semua pihak terutama pengguna media sosial untuk sentiasa menjaga mulut dan jari ketika melontarkan sebarang komen meski ramai kecewa tidak dapat pulang ke kampung gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut penceramah bebas dengan nama sebenarnya, Azman Syah Alias itu, seharusnya setiap individu bersabar dalam berdepan dengan ujian walau terpaksa berhari raya dalam keadaan bersedih dan berpisah dengan keluarga.
“Allah SWT menguji kita dengan apa yang berlaku di Palestin. Allah SWT juga uji kita dengan isu PKP. Cik Man sendiri cuba didik diri dan jari ketika menaip. Allahuakbar.
“Moga kata-kata ini dapat memberikan suntikan positif kepada semua,”katanya menerusi sebuah kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya (IG), semalam.
Turut berkongsi sepotong hadis Nabi, Pu Man sempat menulis di ruangan komen menjelaskan dia cuba untuk tidak menulis sebarang kenyataan yang menimbulkan provokasi dalam keadaan semua pihak sedang berduka sekarang.
“Saya bukanlah orang baik sangat. Tapi saya cuba pastikan setiap post di IG tidak menimbulkan punca provokasi, pergaduhan dan batu api sesama manusia.
“Bahkan boleh menjadi inspirasi ilmu dan ruang tenang untuk semua rakyat malaysia atau sesiapa yang singgah di IG ini,”katanya.
Terdahulu, PU Man turut menulis di ruangan Instagram story memujuk semua pengikut dan seluruh masyarakat supaya jangan menganggap sambutan Aidilfitri tidak menjadi pada tahun ini.
“Raya adalah soal takbir, walaupun diri tidak hadir,”katanya.