KUALA LUMPUR: “Vaksin influenza lah… bukan yang Covid-19 itu.”
Itu kata penyanyi, Khai Bahar yang menjelaslam dia akan mengambil suntikan influenza setiap tahun sebagai langkah mencegah daripada mudah jatuh sakit seperti demam.
“Sebenarnya saya memang rajin ambil vaksin influenza dan kalau ke luar negara pun akan pergi dapatkan suntikan itu terlebih dahulu.
“Kalau yang suntikan vaksin untuk Covid-19 pula, saya masih belum terima dan menunggu notifikasi daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Apa yang saya kongsi di Instagram sebentar tadi bukannya kolaborasi dengan mana-mana pihak kesihatan tetapi atas dasar nak memberi kesedaran kepada orang ramai. Selain mendapatkan makanan tambahan vitamin-C, antara lainnya seperti inilah, suntikan influenza,” ujarnya.
Untuk rekod, penyanyi lagu Hilang Gelita itu menerima suntikan vaksin influenza Sabtu lalu di sebuah klinik kesihatan di Puchong.
Menyedari gelaran selebriti memainkan peranan besar dalam memberikan kesedaran, Khai memaklumkan bahawa mereka yang berisiko tinggi hendaklah mencegah lebih awal.
“Orang sekeliling saya terutama berisiko tinggi seperti kanak-kanak yang berumur kurang dari lima tahun, orang tua yang berumur atas 65 tahun dan siapa sahaja yang sistem imunisasi badannya lemah.
“Saya juga dapat tahu daripada doktor, ibu bapa yang ada hypertensi, diabetes atau kesakitan kronik juga boleh mendapat vaksin ini sebab sistem imunisasi badan mereka lebih rendah, terutamanya pada masa yang kritikal ini. Kita sebagai anak mesti ‘come out stronger, protect them better’,” tulisnya.