KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Harris Anuar, terkejut dengan kiriman mesej daripada individu tidak dikenali yang mengugut ingin menghantar santau kepadanya sekitar pukul 2.47 pagi tadi.
Ketika dihubungi, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu menyifatkan perbuatan pengguna media sosial tersebut bukan gurauan dan dia sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam, Seksyen 9, Selangor sebentar tadi.
“Saya tak pasti akaun orang itu palsu atau wujud. Saya tengok following dia, kebanyakan artis yang ada bluetick.
“Terima mesej macam itu pada lewat malam, tak kelakar, takut juga. Tambah pula di keheningan malam, iyalah… santau ini bukan perkara ringan dan ia memang ada. Saya tengah ada masa lewat malam semalam, jadi bukalah ruang request direct message, baca pula mesej macam itu.
“Saya juga difahamkan individu tersebut pernah mengugut beberapa rakan artis lain. Kalau saya berdiam diri tanpa sebarang tindakan, dia akan selesa buat perkara sama kepada orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Harris Anuar atau nama penuhnya Mohammad Harris Shahrul Anuar, 28, dia berasa hairan mengapa golongan artis mudah menjadi sasaran.
“Tak faham kenapa mesti kenakan saya? Saya bukan nak bongkak. Kadang-kadang pelik, saya sudah buat yang sehabis baik di Instagram. Berkongsi perkara-perkara baik, sebar yang positif saja. Tapi dibalas macam ini.
“Sebagai pengajaran buat saya dan semua rakan selebriti. Kita mungkin tanpa sengaja ada mengguris perasaan orang biarpun tujuan maksud penyampaian kita baik-baik sahaja, sebaliknya mereka tidak boleh terima.
“Jadi, kita kena tapis semula apa yang cuba kita kongsikan atau sampaikan. Golongan selebriti ini senang menjadi sasaran,” tambahnya.
Dalam perkembangan lakonan, Harris bakal menjalani penggambaran drama 20 episod untuk saluran RTM, berjudul Sis Sayang Kamu. Saksikan juga drama rantaian lain, Ismi Solehah arahan ( Astro Ceria ) dan Terlerai Noktah arahan Amor Rizan ( TV3 ).