KUALA LUMPUR: Belum reda isu membabitkan influencer, Ryzal yang mempersenda baju tradisional Iban, Ngepan Iban, terbaharu nama penyanyi rap, Zynakal pula hangat diperkatakan warga maya.
Menerusi perkongsian rakannya, Yonnyboii yang memuat naik gambarnya pernah memakai pakaian lelaki Iban di Instagram, Zynakal pula meninggalkan komen berbaur gurauan yang disifatkan warganet sebagai tidak berakal.
“Uga uga,” komen Zynakal pada hantaran gambar dimuat naik penyanyi yang popular dengan lagu Salahku itu
Ekoran komen itu, Zynakal dihujani kecaman bertubi-tubi oleh netizen sehinggakan Yonnyboii terpaksa menutup ruang komen berkenaan namun, ‘jabatan risikan netizen’ pantas melakukan operasi tangkap layar.
Sebagai informasi, penyanyi lagu Sakit itu pernah mencetuskan kontroversi mencekik seorang pekerja stesen minyak dan menghalang petugas anggota polis.
Akibat tindakannya itu, dia didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur. Zynakal juga dipercayai menghidap penyakit gangguan mental atau bipolar.