PETALING JAYA: “Semua orang layak menerima vaksin tidak kira warganegara Malaysia atau tidak.”
Itu jawapan yang diberikan Tya Ariffin ketika ada yang mempertikaikan mengapa dia sudah menerima vaksin walaupun berstatus warganegara Indonesia.
Jelas pelakon ini yang sudah menerima vaksin COVID-19 dos pertama beberapa hari lalu, bukan sahaja dirinya malah dia juga turut bersyukur apabila suaminya, Asyraf Khalid dan pembantu rumah juga sudah melalui proses yang sama.
“Ketika kerajaan mengumumkan untuk memberikan vaksin ini, suami saya memang sudah mendaftar nama saya. Bukan sahaja saya malah seisi rumah. Jadi soalnya bukan warganegara atau tidak sebab ini memang terbuka kepada sesiapa sahaja. Yang mempunyai pasport juga boleh dan permit yang sah.
“Macam saya sendiri sudah menetap di Malaysia, walaupun masih warganegara Indonesia saya sangat bersyukur dengan langkah kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 ini. Sebab kita tahu Covid-19 tidak mengenal bangsa,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Enggan memberi respons kepada pertanyaan yang hanya mengundang persepsi negatif, jelas Tya, seharusnya rakyat di negara ini lebih peka dengan setiap langkah yang diambil kerajaan.
Malah katanya, menjadi kewajipan rakyat untuk sentiasa mengemaskini aplikasi MySejahtera dalam mendapatkan informasi terkini.
“Bukan mudah mendapatkan slot untuk vaksin ini. Saya dan suami juga melalui proses yang sama, terpaksa berebut.
“Tetapi jangan risau difahamkan akan ada slot berbeza yang akan dibuka. Jadi sentiasa mendapatkan informasi mengenai vaksin bagi mereka yang mahu menerimanya juga,”jelasnya lagi.
Sementara itu, jelas Tya, dia juga akan berkongsi pengalamannya menerima vaksin ini melalui saluran YouTube miliknya. Selain mahu berkongsi pengalaman dia juga melihat perkongsiannya juga mampu menjadi rujukan kepada mereka yang inginkan informasi mengenai vaksin AstraZeneca