KUALA LUMPUR : Walaupun terpaksa akur dengan pihak kerajaan untuk duduk diam di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ia bukan satu halangan untuk pelakon Siti Saleha mengisi ruang waktu yang ada dengan aktiviti yang bermanfaat.
Menurut Saleha, menyedari peningkatan kes wabak Covid-19 kini, selain fizikal, kesihatan mental juga perlu diambil kira oleh setiap individu dan menerusi aktiviti di dalam rumah, ia juga boleh dilihat sebagai terapi untuk minda.
“Memandangkan kita semua kena duduk dalam rumah, tentunya setiap daripada kita kena pastikan kesihatan minda juga terjaga. Saya jadikan aktiviti menonton televisyen, Netflix atau memasak sebagai sebahagian daripada terapi diri.
“Adakalanya melukis, membaca buku, mengemas rumah pun satu terapi. Ruang waktu yang ada sekarang saya gunakan juga untuk mengasah semula bahasa Perancis yang dipelajari menerusi YouTube,”katanya dalam sidang media secara maya drama berjudul Scammer, semalam.
Selain itu, kata Saleha, memandangkan dia juga banyak bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan kandungan bahan media sosial, dia melihat tempoh berkurung dalam rumah kali ini juga membolehkannya lebih konsisten untuk tujuan tersebut.
“Kerjaya ini pun memerlukan saya untuk berinteraksi di media sosial sebagai duta produk dan pempengaruh.
“Tapi saya tak adalah anggap diri sebagai pempengaruh sangat, cuma bila ada pelbagai pihak nak bekerjasama, saya perlu juga gunakan media sosial dan menyediakan bahan kandungan demi pengikut dan peminat,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu, kata Saleha, dia yang memegang watak Amy sekali lagi digandingkan dengan Kamal Adli sebagai pelakon utama.
Menurutnya, Scammer arahan Norhanisham Muhammad ini akan menyaksikan dirinya dari sisi yang berbeza memandangkan ini kali pertama dia membawakan watak antagonis.
Selain Saleha, barisan lain yang turut membintangi drama ini termasuk Fasha Sandha, Didie Alias, Arash Mohamad, Hasnul Rahmat dan Jay Iswazir.
Drama 20 episod itu akan mula ditayangkan pada minggu depan, setiap Isnin hingga khami, pukul 11 malam di saluran Astro Ria.