Setia ibu teman anak sekolah setiap pagi - Utusan Malaysia

Setia ibu teman anak sekolah setiap pagi

TABAH... Lin Hui Ching membawa anaknya Jane Vivian Rojih yang mengalami kecacatan tulang belakang sejak lahir ke sesi pertama pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Cheng, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah pula sepanjang masa. Ungkapan itu tepat menggambarkan kasih Lin Hui Ching, 51, dan suaminya, Rojih Dennis, 48, yang tidak berbelah bahagi dalam membesarkan anak mereka yang menderita spina bifida atau kecacatan tulang belakang.

Akibat kekurangan dialami sejak lahir itu, Jane Vivian Rojih, 14, bukan sahaja perlu dibantu untuk berjalan dan bergerak, malah perlu dibantu dalam urusan ‘peribadi’ iaitu membuang air kecil dan besar.

Rasa kasih pada si anak tidak sedikit pun luak apabila Hui Ching sanggup berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan, demi memberi jagaan terbaik kepada Jane Vivian.

Bayangkan dalam apa jua keadaan sekali pun, dia tidak pernah gagal menemani anak bongsu daripada dua beradik itu menghadiri sesi persekolahan dari pagi hingga petang setiap hari, sejak lapan tahun lalu.

Kini bukan lagi perkara pelik bagi warga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Cheng, Kota Bharu, Kelantan apabila terlihat sosok tubuh suri rumah itu yang duduk bersendirian sambil mengawasi si anak dari luar kelas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, Hui Ching berkata, tugasnya menjaga Jane Vivian makin mencabar apabila anak istimewa itu berusia tujuh tahun dan mula memasuki alam persekolahan.

“Kalau murid lain membuang air di tandas, anak saya pula ‘membuang’ tidak kira masa dan tempat kerana dia tidak mampu mengawal keadaan itu.

“Pernah beberapa kali dia diejek rakan sekelas kerana insiden tersebut. Kekurangan dirinya membuatkan Jane Vivian berasa rendah diri namun saya minta dia bersabar demi menuntut ilmu,” katanya.

LIN HUI CHING

Dalam situasi harga barang kian mahal akibat penularan Covid-19, Hui Ching memberitahu, dia dan suami terpaksa bergelut setiap hari dalam memastikan bekalan ubat dan keperluan harian Vivian tidak terputus.

“Antara bekalan mendesak yang perlu ada setiap masa ialah lampin pakai buang serta peralatan khas iaitu tiub bagi menyalurkan bahan kumuh anak saya.

“Gaji suami, Rojih sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) memang tidak mencukupi kerana dia bukanlah berpangkat tinggi manakala saya pula tidak bekerja,” katanya.

Alat khas bantu berjalan

Hui Ching dalam pada itu berkata, anaknya kini mampu berjalan sendiri menggunakan alat khas dipanggil leg caliper yang terpakai sumbangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Sayangnya alat tersebut terlalu berat bagi anak saya selain bersaiz agak besar dan tidak sesuai dengan kakinya. Kami tidak jumpa orang yang mahir mengubah suai alat itu.

Leg caliper baharu pula tidak dijual di Kelantan, malah di Kuala Lumpur pun sukar dicari. Di luar negara, harga seunit alat itu mencecah RM6,000, jadi manalah kami mampu,” keluhnya.

 

Jane Vivian Rojih memegang alat khas dipanggil leg caliper yang membantunya berjalan di rumah atau di sekolah.

Menyedari keluarganya bukan orang berada, Jane Vivian tidak pernah mendesak atau merengek, namun Hui Ching dan suami tetap berusaha mengumpul wang bagi membeli alat tersebut.

“Kami sekarang hidup dalam keadaan berjimat-cermat. Syukurlah keluarga kami dibenarkan tinggal di Kompleks Perumahan PGA di Pengkalan Chepa, jadi suami tidak perlu membayar kos sewa rumah,” katanya.

Hui Ching turut berkongsi berita gembira diterima awal tahun lalu apabila pihak pengurusan SMJK Chung Cheng sudi menawarkan kerja sebagai pembantu koperasi sekolah kepadanya.

“Tawaran pihak sekolah itu amat melegakan namun pandemik Covid-19 pula melanda negara sehingga sekolah terpaksa ditutup. Saya tidak pasti adakah tawaran itu masih ada atau sudah diisi orang lain,” katanya.

Hasil perkongsian hidup selama 18 tahun bersama Rojih yang berasal dari Sabah, Hui Ching yang merupakan anak jati Kuala Krai melahirkan dua cahaya mata. Anak sulung lelaki mereka kini berusia 17 tahun.

Tatkala Jane Vivian yang agak pemalu memberitahu tentang minatnya dalam bidang masakan dan bercita-cita mahu membuka sebuah kafe apabila dewasa, mata si ibu dilihat mula berkaca digenangi air mata.

“Hati ibu mana tidak gusar memikirkan masa depan anak. Sampai masanya, saya dan suami akan ‘pergi’ jua tetapi sebelum itu, kami akan berusaha memastikan Jane Vivian mampu hidup berdikari,” kata Hui Ching.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya