KUALA LUMPUR : Sebuah akaun kelab peminat yang menggunapakai nama Lofa.Page dan dipercayai dikendalikan peminat tegar Noor Neelofa dilihat memuji selebriti penuh kontroversi tersebut sebagai seorang wanita yang kuat.
Menerusi satu demi satu isu yang melanda Neelofa kebelakangan ini, penyokong-penyokongnya tetap teguh berdiri di belakang terutama ketika majoriti masyarakat sudah teramat berang dengan tindakan wanita tersebut melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang rancak dilaksanakan kerajaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, menerusi sekeping gambar yang dimuat naik semula dalam Instagram Story terdapat kata-kata semangat yang dikepilkan khusus buat Neelofa.
Gelaran Strong Girl atau wanita kuat dalam bahasa Melayu itu ditujukan buat Neelofa oleh pengendali akaun tersebut yang turut memaparkan hampir semua muka hadapan akhbar-akhbar tempatan yang memaparkan kontroversi selebriti itu.
Selain itu, pengendali akaun tersebut juga menggesa semua pihak agar tidak membenci atau memfitnah Neelofa menerusi laporan berita kegagalan wanita itu memakai pelitup muka ketika berada di khalayak ramai.
“This is sick! (Ini sangat melampau). Dia pakai purdah kot. Sekali pun benci, jangan sebarkan kebencian dan fitnah. Ya Allah maafkanlah kami dan jangan jadikan diri kami sebahagian daripada golongan pelampau,”katanya.
Terdahulu, akaun tersebut mendapat kecaman ramai setelah memuat naik sebuah hantaran yang menyamakan dugaan yang dilalui oleh Neelofa termasuk suaminya, Haris Ismail sama seperti mana rakyat Palestin ditindas di tanah kelahiran sendiri.
Kenyataan mengenai persamaan itu dilihat tidak masuk akal oleh rata-rata warga net sekali gus mencetuskan perbincangan berbaur kemarahan lantaran apa yang dilalui oleh Neelofa tentunya tidak sama seperti penderitaan berdarah rakyat Palestin.