Setiap drama bersiri mahupun filem, pasti penerbit mahu menampilkan keunikan sesebuah jalan cerita selain menonjolkan keaslian idea dalam berkarya. Penerokaan dan kreativiti sesebuah cerita harus diketengahkan bagi menarik perhatian penonton.
Setiap peminat filem dan drama bersiri juga menantikan kelainan baharu yang akan dibawa oleh penerbit melalui cerita yang akan ditayangkan. Kepuasan penonton adalah keutamaan para pengarah dan pelakon.
Drama bersiri, Mare of Easttown yang diterbitkan HBO adalah antara drama yang benar memberi kepuasakan kepada penonton.
Menampilkan Kate Winslet sebagai watak utama yang merupakan detektif di kota kecil Pennsylvania.
Drama bersiri tersebut mempunyai kelainan kerana mengetengahkan dialek yang berbeza daripada drama yang sedia ada.
Menurut pelakon berusia 45 tahun itu, Mare of Easttown merupakan drama istimewa dan unik yang pernah dilakonkan. Dia terpaksa mempelajari dialek asing baginya demi menjayakan cerita ini.
“Terdapat dialek yang sangat berbeza dan spesifik dimiliki masyarakat Delco, di samping itu saya terpaksa mempelajari satu lagi dialek Amerika yang berbeza.
“Saya gemar membawa dan mempelajari dialek yang berbeza semasa berlakon, tetapi ia sangat sukar. Selain itu, watak Mare Sheehan sama sekali berbeza dengan yang saya pernah lakonkan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, sebelum memulakan pengambaran siri tersebut, Kate juga menghabiskan banyak waktu di Pejabat Polis Easttown dan di Bandar Marple bagi menjiwai lagi wataknya sebagai detektif.
Kate berkongsi, sekumpulan detektif dan pegawai polis membantu serta mengajarnya bagaimana mewatakkan sebagai detektif sebenar. Sebagai menjiwai watak, dia kagum dengan seorang sarjan wanita di balai polis itu, Christine Blaylor.
Katanya, sarjan wanita tersebut sentiasa memberi tunjuk ajar untuk menggunakan pistol atau senjata lain seperti detektif sebenar. Kate mengagumi Christine kerana luar biasanya dan banyak memberi ilmu ketika mengendali senjata.
Berkongsi cabaran menjayakan siri tersebut, dia menyifatkan Mare of Eastrown adalah cabaran terbesarnya kerana terpaksa melakukan pengambaran semasa wabak pendemik Covid-19 meningkat.
“Saya melakonkan watak ini lebih dari setahun ditambah pula dengan persiapan selama lima bulan. Saya mesti kekal sihat, bukan disebabkan watak tetapi saya harus banyak berlari dalam siri tersebut.
“Selanjutnya, fizikal saya perlu sebagai seorang atlet. Saya banyak melawan dan menangkap orang semasa pengambaran. Saya perlu menjaga kesihatan diri kerana ini adalah pekerjaan yang sangat besar,” luahnya.
Dalam pada itu, Kate juga meminta agar semua menonton siri tersebut kerana pelbagai kejadian yang tidak diduga dan menarik yang berlaku di bandar kecil itu.
“Siri tersebut membongkar pembunuhan di sebuah bandar kecil. Penonton akan turut rasa teruja dan mahu menyelesaikan misteri jenayah yang berlaku di bandar kecil itu. Menarik bukan?
“Apa yang pasti, penonton akan terkejut dengan pendedahan siapa pembunuh sebenarnya.
“Bagi saya secara peribadi, drama bersiri ini juga memaprkan kisah yang sangat cerdik daripada genrenya. Siri ini bukan sahaja sekadar kisah jenayah. Ia sebenarnya lebih mengenai komuniti, belas kasihan serta kesedihan,” katanya.