KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Mira Filzah, menegur sikap segelintir individu yang tidak berfikiran rasional dalam perkongsian di media sosial, baru-baru ini.
Jelas pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu, perkongsian yang tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umum.
“Nak cakap ke tak, cakaplah. Boleh tak yang nak muat naik apa-apa dekat Instagram ke Twitter ke buat konten ke, kenyataan ke, bergurau ke, pakai otak sikit?,” tulis Mira menerusi Twitter.
Mira meluahkan rasa kecewanya itu dengan berkongsi semula mengenai dakwaan seorang wanita, Aqila Yusri berhubung kes berita palsu mengenai punca kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.
Dalam perkembangan lain, pihak polis memberitahu bahawa mereka sedang mengesan wanita itu berhubung kes berita palsu. Wanita tersebut juga mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian terbabit.