KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beberapa hari sebelum lebaran, dua pelakon popular, Nora Danish dan Tiz Zaqyah mengesahkan mereka berdua disahkan positif Covid-19.
Berita duka itu dikongsi kedua-dua pelakon wanita itu menerusi laman Instagram mereka hari ini.
“Dukacitanya nak maklumkan Nora didapati positif Covid-19 pada hari ini. Semalam, Nora ada buat ujian calitan kerana mempunyai kontak rapat kategori C.
“Keputusan pagi tadi mendapati saya positif walaupun tiada sebarang simptom.
“Sekarang Nora kuarantin sendiri dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat. Mereka juga sudah melakukan ujian calitan,” kongsi Nora.
Dalam entri sama, Nora juga berkongsi dia sepatutnya hadir untuk suntikan vaksin AstraZeneca pagi tadi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
“Pagi ini sepatutnya saya divaksin di UKM tetapi dinasihatkan kuarantin dulu. Insya-Allah pasti ada hikmah atas apa yang terjadi.
“Bagi sesiapa yang ada jumpa saya antara 4 hingga 8 Mei lalu, tolong lakukan ujian calitan, jaga diri dan maafkan saya,” katanya.
Sementara itu, Tiz Zaqyah turut berkongsi dia mengalami simptom seperti batuk dan badan menggigil.
“Semuanya bermula ketika saya mengalami batuk dan badan menggigil. Saya dapat rasakan keadaan badan saya tidak seperti selalu,” katanya.