KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa, 32, menjelaskan dia dan peguamnya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar tidak menaiki kenderaan yang sama ketika memberi keterangan di IPD Seremban.
Sebaliknya Neelofa berkata, dia bersama, suami, Haris Ismail dan pemandu, hanya menumpangkan Ahmad Zaharil untuk ke ruang parkir di mahkamah yang terletak dengan jarak sekitar 50 meter.
“Assalammualaikum. Saya ingin menjelaskan mengenai gambar peguam, Ahmad Zaharil yang menaiki kenderaan saya bersama Haris serta pemandu selepas selesai berurusan di IPD Seremban, sebentar tadi.
“Kami hanya menumpangkan Ahmad Zaharil daripada balai polis ke mahkamah yang terletak bersebelahan dengan jarak sekitar 50 meter. Kenderaan peguam diletakkan di ruangan parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama.
“Kami sudah menghubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum mengenai perkara ini. Saya, Haris dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan kenderaan kami, manakala peguam pula pulang ke kediamannya dengan memandu kenderaannya,” katanya.
Neelofa menjelaskan dakwaan tersebut menerusi gambar yang dimuat naik di Twitternya sebentar tadi.
Pengcara popular itu sekali lagi menjadi bahan debat warganet yang mendakwa dia menaiki kenderaan melebihi jumlah yang dibenarkan oleh kerajaan.
Kerajaan kini mengehadkan hanya tiga orang boleh berada dalam satu kereta termasuk pemandu bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini susulan pelaksanaan PKP 3.0.
Dalam pada itu, Neelofa berkata, polis boleh meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika dia menurunkan peguamnya di perkarangan mahkamah dan di luar IPD.
“Diharapkan, penjelasan ini dapat mengelakkan salah faham. Sekian terima kasih,” katanya.