PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila jirin meluahkan rasa bimbang dan kecewa apabila nasib para peniaga termasuk dirinya tidak terbela dan terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menerusi entri Instagrammnya, dia menyifatkan suara para peniaga bagaikan tenggelam tanpa bela oleh mana-mana pihak terutama kerajaan.
“Makin tenat! Suara orang berniaga tenggelam tanpa bela! Selepas ini, akan timbul pula penyakit semua dibuang kerja.
“Ekonomi rakyat tenat! Majikan sudah mula mengangkat bendera putih. Jangan memaksa majikan membuat pengekalan pekerja bila subsidi upah pun hanya tinggal cakap semata-mata,” luah usahawan Bizmilla itu.
Di samping itu, dia juga menegur PKP 3.0 yang dilaksanakan kerajaan itu supaya benar-benar berkesan.
“Nak lockdown (perintah berkurung), betul-betul lockdown. Biar seorang pun tidak ada yang keluar dari rumah. Biar berkesan. Bukan lockdown manja-manja, ada yang boleh, ada yang tidak boleh,” ujarnya.
Kini, Mila Jirin mengambil inisiatif menjual kek dan pastri bagi meneruskan kelangsungan pendapatan syarikat dan pekerja.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun ini serta pelaksanaan PKP di beberapa negeri.
Hal yang demikian secara tidak langsung merencatkan pendapatan para peniaga kecil terutama mereka yang berniaga di bazar ekoran menerima arahan terpaksa menutup daripada berniaga di beberapa lokasi bazar.