PETALING JAYA: Kejayaan persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim di Melaka pada 10 April lalu kini diteruskan dengan Konsert Unplugged Search 40 Years.
Bakal diadakan pada September depan, menurut wakil COF Music, Aman Nassim tarikh dan lokasi konsert bagaimanapun masih dalam perbincangan.
“Tarikh dan lokasi tepat masih belum dapat ditetapkan sebab kita menunggu perkembangan semasa dalam negara. Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan digantikan dengan arahan lain beserta SOP baharu, ketika itu baharulah kita akan berbincang dan putuskan semua.
“Sekiranya persembahan secara bersemuka dapat dilaksanakan kita akan menjual tiket. Namun, buat masa sekarang apa yang pasti kita juga akan menjual tiket untuk konsert secara Live Streaming. Bagi peminat yang tidak dapat hadir, mereka boleh menonton secara dalam talian,” katanya.
Masih mengekalkan kehadiran Akim sebagai vokalis dalam konsert ini, tambah Aman transisi yang berlaku terus memberi kelebihan buat kumpulan ini kembali ‘bernyawa’.
“Konsert ini saya bekerjasama dengan Search. Bagi saya, mereka adalah band legenda yang perlu dihidupkan sampai bila-bila. Disebabkan itu, saya merancang untuk membawakan konsert istimewa ini. Malah, untuk mencari band yang bertahan sehingga empat dekad adalah susah.
“Jadi, menerusi konsert ini saya mahu memasarkan semula jenama Search kepada generasi muda hari ini. Mungkin selama ini mereka hanya tahu beberapa lagu popular saja, sedangkan mereka ada banyak lagu hits.
“Disebabkan itu, menerusi konsert ini Search dan Akim akan membawakan 10 lagu popular yang jarang peminat muda tahu. Selain itu, apa yang paling penting adalah saya mahu peminat merasai aura baharu Search dengan adanya kemunculan Akim selaku vokalis. Saya percaya dengan bakat dan vokal dimiliki Akim, dia mampu menarik perhatian peminat dengan gaya nyanyian tersendiri,” katanya.