KUALA LUMPUR: Pelakon, Zaki Azeman, 27, tampil memberi penjelasan berhubung isu merentas negeri kerana adiknya, Danial Azeman terbabit dengan kemalangan jalan raya sekitar empat bulan lalu.
Dalam perkongsian sama pelakon drama Setelah Ku Dimiliki itu, memohon maaf kepada orang ramai kerana tidak dapat membalas komen ataupun hantaran mesej (DM) akaun Instagramnya.
“Ada seorang pengguna yang tag PDRM, persoal kenapa Zaki balik kampung? Adik Zaki kena langgar dengan kereta ketika membonceng motorsikal. Sudah empat bulan terlantar. Saya tak pernah kongsi sebelum ini kerana tak mahu heboh-hebohkan.
“Maaf kepada yang DM, komen atau tidak puas hati kenapa Zaki balik kampung. Apa pun selamat hari raya maaf zahir dan batin ikhlas daripada saya Zaki Azeman,” katanya.
Video yang dikongsi pelakon kelahiran Kuala Perlis, Perlis, sebentar tadi, dapat dilihat adiknya sedang diberi makan menerusi tiub.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut oleh pelakon telefilem Hilang Akal itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, bagaimanapun panggilan berkenaan dijawab oleh bapanya dan mengesahkan, Zaki sudah mendapatkan kebenaran rentas negeri daripada pihak PDRM.