KUALA LUMPUR : Selepas muncul menjadi sebuah drama fenomena, Kampong Pisang Bersiri-siri penonton dan peminat setianya bakal disajikan pula dengan tayangan perdana filem berjudul Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa malam ini di saluran Astro First 480.
Filem sentuhan pengarah tersohor, Mamat Khalid itu dihasilkan dengan pendekatan berbeza dan pertama kali menerapkan konsep muzikal sebagai keistimewaannya.
Menurut Mamat, filem itu dihasilkan demi memenuhi permintaan peminatnya dan dihasilkan dalam bentuk muzikal bagi menceriakan hari penonton.
“Sempena sambutan hari raya Aidilfitri, saya yakin ramai yang ingin bergembira meskipun kita semua beraya dalam keadaan norma baharu dan serba sederhana.
“Jadi saya himpunkan lagu-lagu yang dekat dengan penonton ke dalam sebuah filem agar sedikit sebanyak dapat menceriakan hari mereka dengan berhibur serta mengembalikan nostalgia dan memori di hari lebaran,” katanya.
Selain itu, menurut Mamat, istimewanya filem ini ia turut menyelitkan kisah cinta dan semangat bermasyarakat di hari raya yang berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu.
“Antaranya nostalgia rumah yang dihias dengan pelita panjut dan kad raya,muafakat antara jiran tetangga ketika menyediakan juadah Aidilfitri, kanak-kanak bermain di malam raya dan banyak lagi.
“Saya harap kehadiran filem ini mampu memberikan suntikan yang berbeza kepada generasi masa kini tentang suasana dan nilai berkasih sayang di hari raya,”katanya.
Selain itu, kata Mamat, terdapat 10 buah lagu ‘evergreen’ yang dinyanyikan sendiri oleh barisan pelakon Kampong Pisang dengan kesemuanya terdiri daripada lagu popular hari raya dan juga lagu hits sekitar tahun 1990-an.
Antaranya ialah Cahaya Di Aidifitri (Kazar Saisi,Dewa Sapri, Mok Ram & Nazeera Sardi), Pulang (Joey Daud), Suasana Hari Raya (Yah Kuchei & Aziz M Osman), Doa Di Hari Mulia (Yah Kuchei), Selamat Hari Raya (semua barisan pelakon), Halaman Asmara (Kaka Azraff & Datuk Awie), Di Persimpangan Dilema (Nazeera Sardi), Kekasih Awal Dan Akhir (Datuk Awie), Belaian Jiwa (Bell Ngasri), dan Pantun Budi (Mat London, Datuk Awie, Mok Ram, Ahmad Yassin).