KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nana Sheme atau Nur Nabilah Hashimi, 26, tampil meluahkan rasa berang terhadap influencer berhubung baju tradisional Iban yang menjadi bahan gurauan.
Anak jati kelahiran Kuching, Sarawak itu menyifatkan sikap individu bernama Ryzal Ibrahim itu tidak sensitif malah gurauan itu kedengaran “kasar”.
“Darah Iban mengalir dalam tubuh badan ini. Sejujurnya saya lebih rasa dia menghina sebab menggunakan ayat ‘kain buruk’ dalam menggambarkan kain Karap. Tak hormat langsung.
“Bukan saya nak seperti menuangkan minyak tanah dalam api. Tetapi, memandangkan tak ramai warga Sarawak dipandang, izinkan saya menggunakan landasan ini untuk menghentikan dalam menormalkan gurauan terhadap budaya orang. Hentikan mentaliti rendah ini.
“Ya, awak boleh mohon maaf. Tapi awak kena faham juga. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sila hadam, sila belajar dari kesilapan. Terima kasih,” tegasnya.
Terdahulu, Ryzal sendiri telah memohon maaf secara terbuka di akaun Instagramnya di atas perbuatannya itu.
“Saya minta maaf atas gurauan tadi berkenaan pakaian tradisional Iban yang dipakai Maryam. Saya akui ianya gurauan, bukan niat menghina tetapi saya faham itu isu sensitif kaum.
“Kepada orang Sarawak khususnya kaum Iban, saya dahulukan permohonan maaf kerana gurauan yang tidak berasas dengan pakaian tradisional Iban.
“Video Maryam memakai pakaian itu saya telah pun tarik balik untuk menghormati kamu semua. Sekali lagi, saya minta maaf,” pintanya.