SEJUJURNYA, timbul rasa kagum dengan pendirian penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini tatkala disua dengan pertanyaan mahukah dia berkahwin lagi.
Maklumlah, diam tak diam, sudah 11 tahun dia hidup sendiri memegang gelaran seorang janda, satu status yang tidak diingini oleh mana-mana wanita sekali pun di dunia ini.
Cukup tenang, Ramlah Ram dilihat sempat mengukir senyuman sebelum melayangkan pertanyaan ringkas, “Apa salahnya hidup seorang?”katanya.
Mengaku dirinya bahagia sahaja walaupun tidak mempunyai teman hidup, Ramlah jelas menganggap sesebuah kebahagiaan tidak semestinya harus diukur menerusi perkahwinan.
“Buat apalah saya nak bohong. Memang saya bahagia dan okey saja. Sebenarnya, kalau kita terima apa yang Allah SWT berikan dan tentukan, dalam erti kata lain, berserah pada Dia, kita akan rasa tenang sahaja.
“Saya akui reda dan terima ketentuan ini. Tiada kata lain, syukur Alhamdulillah. Tak ada nak rasa tertekan hidup seorang diri begini,”katanya.
Menurut penyanyi berusia 56 tahun ini lagi, jika ada yang cuba mengaitkan dirinya dengan bungkaman kesunyian, itu juga bukan satu masalah baginya.
“Sunyi? Tak sempat nak rasa sunyi adalah. Sebenarnya, ikut cara kita berfikir. Kalau rasa berat, maka beratlah ia. Macam orang yang ada masalah, setiap orang yang cuba menyelesaikan sesuatu masalah tak sama.
“Penerimaan seseorang terhadap sesuatu masalah juga tidak sama. Ada orang anggap masalah kecil itu besar, ada yang sebaliknya. Lain orang, lain penerimaannya terhadap sesuatu perkara itu,”katanya.
Dalam isu ini, kongsi Ramlah, dia tidak merasa perlu untuk dirinya meratap atau simpati dengan diri sendiri lantaran tidak mempunyai seorang lelaki bergelar suami di sisi kini.
Malah, lebih senang untuk sentiasa positif dengan ketentuan Allah SWT, Ramlah enggan merasa terbeban dengan kehidupan jandanya.
“Okey apa hidup macam ini? Saya nak duduk di kafe sampai pukul berapa pun tak apa, nak kemana-mana pun tak perlu ‘melapor’ pada suami atau tak berkemas-kemas pun tak ada orang nak bising.
“Bebas. Tapi bukanlah secara sembarangan. Maksud saya, bebas untuk berdikari dan buat apa yang kita mahu asalkan bukan benda yang tidak baiklah,”katanya.
Ada orang nak sayakah?
Menjawab pertanyaan kemungkinan ada sahaja lelaki yang sedang mencuba mendekati dirinya kini, Ramlah cuma ketawa.
Ujarnya, jika ada sekali pun lelaki yang menyimpan hasrat sebegitu, entah-entah, dia sendiri pun tidak pernah perasan.
“Tak tahulah kalau ada ya tak? Saya sendiri pun bukannya jenis berjumpa ramai orang sangat pun. Pendek kata, habis kerja saja terus pulang ke rumah.
“Tambah-tambah dalam situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, manalah sempat nak jumpa-jumpa orang sangat,”katanya.
Tidak menolak barangkali sudah merasa malas untuk berkenal-kenalan dengan mana-mana lelaki, Ramlah enggan terlalu mendesak diri untuk memikirkan perihal yang tentunya adalah kerja Tuhan.
“Tapi saya tak kata sudah menutup pintu hati. Soal jodoh, ajal maut ini di tangan Tuhan, jadi saya tak berani nak cakap tentang ini. Segan pun ada nak berbicara pasal jodoh.
“Bagi saya, kalau ada tu, adalah. Semuanya juga berbalik kepada ketentuan dariNya,”katanya.
Eksperimen dengan lagu
Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan kerjaya seni, dia yang telah berkecimpung selama 36 tahun dalam industri sering memandang positif kerjasama artis lama dengan generasi muda.
Katanya, situasi seperti itu seharusnya dilihat dari sudut yang sihat sementelah tidak rugi untuk bereksperimen dalam penghasilan sesebuah lagu.
“Lihat sahaja kerjasama saya sebelum ini dengan duo Sleeq dan Caprice sebagai contoh, ia bagi saya, menjadi. Walaupun pada awalnya ada yang mempersoalkan tentang kebolehan saya untuk menyanyi rap misalnya, itu bukan masalah utama.
“Memang begitu coraknya,setiap benda baharu, memang sukar untuk ia diterima oleh orang kita. Tapi kalau kita tak berani mencuba, kita tak akan tahu.
“Macam berniaga jugalah. Kalau tidak cuba untuk mengambil risiko, perniagaan itu tidak akan berkembang maju,”katanya.
Selain itu, dia yang baharu sahaja muncul dengan lagu raya Kemenangan gembira dengan sambutan daripada peminat yang tidak pernah surut memberi sokongan kepadanya.
Penghasilan lagu Kemenangan juga adalah sebagai satu hadiah buat peminat-peminat yang juga menyaksikan dirinya sebagai penulis lirik lagu tersebut.