PETALING JAYA: Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie berjaya meraih lebih RM 213,005 hasil daripada jualan pelitup muka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Susulan itu, bagi menunjukkan sokongan padunya terhadap negara tersebut, Jovian mengambil inisiatif menjual topeng muka bercorak bendera Palestin. Malah, dia tidak mengambil untung daripada jualan itu.
Menerusi entri Instagram Jovian, jumlah yang berjaya dikumpul itu kurang dari 12 jam dan 100% jualan tersebut disalurkan terus kepada rakyat Palestin. Sebanyak 4,500 unit habis dijual dan pelitup muka itu masih menerima permintaan daripada orang ramai.
“Pada mulanya, kami cuma memperuntukkan 3000 unit untuk dijual untuk koleksi ini. Seterusnya menambah 1500 unit lagi, semuanya dijual dalam masa 12 jam!
“Sayangnya, saya tidak membuka pesanan lagi buat masa ini. Kami seharusnya dapat mengumpul RM1 juta kurang dari seminggu, cuma pengeluarannya terbatas. Saya akan membuka pesanan lain apabila kami sudah bersedia.
“Selain itu, kami juga akan memaklumkan saluran yang digunakan untuk menyumbangkan wang tersebut. Kami juga memastikan bahawa itu adalah saluran yang sah dan selamat bagi memastikan dana itu sampai kepada rakyat Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Jovian memaklumkan idea untuk menjual pelitup muka dan menyalurkan kepada rakyat negara berkenaan mula tercetus kerana anak perempuannya. Inisatif ini adalah cara lain untuk menunjukkan sokongan dan membantu mereka di sana.
Di samping itu, usahawan dan selebriti popular, Vivy Yosuf juga memaklumkan, kutipan lebih RM 600,000 berjaya diraih untuk disalurkan bagi bantuan rakyat Palestin.