KUALA LUMPUR: Dramatis, Kuza, 48, menegaskan kepada penggiat seni yang terbabit dalam penggambaran untuk berlaku jujur dan jangan berselindung sekiranya mempunyai gejala atau positif Covid-19.
Menurut perkongsian Kuza atau nama penuhnya Tengku Sariza Tengku Muzani, dipercayai salah seorang artis telah disahkan positif Covid-19.
“Apa pendapat kamu bila dapat tahu salah seorang artis terlibat dalam penggambaran telah disahkan positif Covid-19? Bila kami dapat tahu salah seorang rakan artis kami positif bukan Covid-19 sahaja, bahkan influenza juga? Boleh bayangkan tak perasaan kami masa itu?
“Sama mangsa pada pihak yang tidak bertanggungjawab. Tolonglah pada artis dan juga pihak penerbit kalau ada yang positif Covid-19, tolong bagitahu jangan sorok fasal penyakit berbahaya ini. Jangan pentingkan diri sendiri,” tegasnya.
Dalam perkongsian sama di Instagram Kuza, artis berkenaan sebelum penggambaran dijalankan sudah memaklumkan kepada pihak produksi namun berita itu didiamkan sahaja.
“Padahal artis itu dah bagitahu kepada pihak tertentu bahawa dia sakit sudah 10 hari dan ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, tapi tak bagitahu kepada kami semua,” katanya.
Ekoran berita mengejutkan itu, Kuza segera menjalani ujian saringan dan keputusannya negatif.
“Kami ada anak, keluarga. Apa lagi kami yang artis ini terus pergi buat RT-PCR (Real Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction). Alhamdulillah saya negatif,” ujarnya