KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 27, berkata, orang ramai memainkan peranan penting dalam membantu mangsa buli siber.
Menurut penyanyi lagu Surat Akhir itu, ada segelintir pembul siber memang suka mencari kesalahan orang lain biarpun ibarat sebesar zarah.
“Mereka mengutuk macamlah mereka (nmangsa buli) tak pernah buat kebaikan. Kalau ada seribu kebaikan kenapa nak menghukum atas satu perkara ini sahaja? Begitu juga terhadap diri saya, mungkin ada segelintir yang tak suka. Kalau saya layan, mesti hidup tertekan. Disebabkan itu juga, saya berhati-hati untuk berkongsi mengenai peribadi atau kerjaya saya.
“Jadi saya terapkan kepada diri sendiri juga, kalau ada orang buat salah, mungkin ada banyak lagi jasa dan kebaikan dia. Tapi nak puaskan hati orang memang takkan dapatlah. Oleh itu, jangan kerana mulut orang kita tertekan,” ujarnya.
Pelakon filem Abang Bomba, I Love You Raya itu berkata demikian ketika ditemui di majlis Kempen Anti Buli Siber oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask dan sesi beramah mesra bersama dua artis lain, Elfira Loy dan Wany Hasrita.
Mengulas mengenai rakan-rakan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Janna Nick dan Neelofa yang kebelakangan ini menjadi bahan siber buli, Amira berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku.
“Takut bila baca, luar biasa betul bila mereka ini komen. Secara peribadi hal ini tak seharusnya berlaku, tapi nak kawal bukannya kerja mudah sebab mulut manusia. Saya harap satu hari kelak bila ada anak-anak dan keturunan. Moga-moga mereka ini tidak menyerang dan buat perkara sama. Bila saya baca geram juga, bayangkan yang menerima?
“Berpada-padalah, tulis atau komen dengan menggunakan ayat yang sopan dan beradab. Hentam maki, kesian si penerima itu, mereka ada keluarga. Sebagai rakan baik kepada mereka yang menerima nasib tersebut, nasihat saya, abaikan sahaja,” tuturnya.