PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Ummi Nazeera, meminta warganet agar sentiasa berhati-hati memberi komen di media sosial terutamanya melibatkan petugas barisan hadapan.
Pelakon yang popular melalui drama Nur Kasih, berasa hairan dengan sikap segelintir masyarakat yang berani memberi komen kurang menyenangkan terhadap petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.
Menerusi entri Twitter Ummi, dia berkongsi luahannya mengenai perkara tersebut apabila menyedari telah banyak isu-isu mengutuk barisan hadapan oleh masyarakat.
“Barisan hadapan pun ramai Malaysian kutuk, peliklah. Saya tidak memahami apa yang ada di fikiran mereka.
“Berhati-hatilah apabila memberi pendapat, barisan hadapan ini yang menolong anda dan mereka jugalah menolong orang-orang di sekitar anda. Semoga Allah melindungi kita semua,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.
Dalam pada itu, Ummi Nazeera antara selebriti yang kerap berkongsi perkembangan terkini Covid-19 di media sosial serta memberi kesedaran kepada masyarakat agar mengambil vaksin yang disediakan oleh kerajaan.
Pada waktu ini, segelintir rakyat Malaysia mudah menuding jari kepada petugas barisan hadapan dan pihak kerajaan berikutan peningkatan kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini.