KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Faizal Tahir dan Naim Daniel, mengutuk kekejaman zionis yang menyebabkan 23 rakyat Palestin menjadi mangsa korban dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, malam Isnin lalu.
Faizal Tahir, 42, berharap orang ramai ketika ini sama-sama memanjatkan doa buat rakyat Palestin.
“Terlalu jijik dan perbuatan yang sangat terkutuk! Tiada kata lain yang sesuai nak digunakan. Lidah terpaku, dah nak berhari raya dan Muslim di sana sedang fokus beribadah.
“Zionis mainkan muzik sekuatnya bagi meraikan serangan udara yang mengakibatkan ramai menjadi mangsa korban di kawasan Masjid Al-Aqsa.
“Masa akan tiba tanpa ragu-ragu dan Allah Maha Mengetahui. Perjanjian adalah benar dan akan tertunai. Ayuh kita semua berdoa. Ini bukan soal agama Muslim tetapi ini kepada perihal kemanusiaan,” ujar penyanyi Selamat Malam itu.
Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, 23, memuat naik gambar bendera Palestin sebagai tanda sokongan sekali gus menukar gambar profilnya.
“Bersenanglah kalian di atas air mata ibu dan anak ini. Menarilah kalian di atas mayat ayah yang memeluk bayi. Ketawalah kalian di atas penderitaan anak-anak ini.
“Berdendanglah kalian di dalam rumah yang dicerobohi. Sedang ramai kami di sini akan terus merayu dan merayu dikhaskan buat kalian neraka panas yang janjinya pasti.
“Wahai tentera haram. Bersenanglah. Menarilah. Ketawalah. Berdendanglah. Menang kalian ini adalah menang yang sebangsatnya. Dan hanya di dunia sahaja,” coret Naim.
Pada masa sama, Naim bersama rakan-rakan penyanyi, Khai Bahar, Ismail Izzani, Daniesh Suffian, dan Harris Baba telah menghasilkan satu muzik video luahan rasa yang menceritakan nasib malang penduduk Palestin.
“Kita doakan supaya anak-anak di Palestin mampu bangun pada esok harinya dengan bunyi kicauan burung, bukan bom. Terlalu banyak darah yang tumpah, terlalu banyak air mata yang mengalir, sama sama kita satukan ummah, agar derita ini berakhir,” katanya.
Selain Faizal dan Naim serta Mizz Nina, rata-rata rakyat Malaysia juga menunjukkan sokongan dan mengutuk perbuatan terkutuk Zionis.