PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Faizal Tahir dan kumpulan nasyid, Mirwana berkolaborasi melalui Virtual Showcase Nostalgia 30 Mei depan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Sama seperti selebriti lain, Faizal Tahir juga turut sama menunjukkan sokongan padunya di media sosial agar lebih ramai warganet sedar isu yang sedang melanda terhadap negara bergolak itu.
Di samping itu, penganjuran showcase tersebut adalah salah satu inisiatif dia dan Mirwana untuk bersama-sama melaungkan sokongan dan membantu rakyat Palestin.
Menerusi entri Instagram Faizal, dia telah mengurangkan masa percutiannya dalam industri hiburan untuk mengadakan showcase tersebut demi mengutip dana untuk saudara-saudara Islam di sana.
“Setelah berfikir panjang, saya telah membuat keputusan untuk memotong pendek cuti saya demi saudara kita di Palestin.
“Sehubungan itu, saya tidak boleh mengangkat senjata untuk membantu mereka. Nak lawan di alam siber pun tidak pandai. Jadi, saya buat apa yang saya pandai buat.
“Oleh itu, saya dan kumpulan Mirwana bersepakat membuat satu showcase, sebelum saya betul-betul boleh berehat. Bagi membantu mengutip dana untuk disalurkan kepada saudara-saudara kita di sana melalui My Aqsa Defenders,” katanya.
Ketika ini, konflik antara Palestin dan rejim zionis telah memberi kesan emosi dan jiwakepada rakyat Malaysia. Ratusan nyawa terkorban kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita akibat pengeboman oleh pihak musuh tersebut.
Terdahulu, Faizal Tahir membuat keputusan mengejutkan ramai pihak setelah mengumumkan ingin berehat untuk jangka masa Panjang sebagai seorang penyanyi. Hasrat tersebut untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan dirinya sendiri.